FILEM Tiger Stripes berkisarkan seorang remaja perempuan bernama Zaffan lakonan Zafreen Zairizal yang memasuki lembaran hidup seorang gadis dan akibat ‘luar biasa’ daripada kejadian semula jadi tersebut.
Naskhah sentuhan pengarah Amanda Nell Eu sememangnya layak diangkat sebagai antara filem terbaik tempatan tahun lalu.
Kalau tidak, masakan karya genre seram fantasi tersebut dipilih mewakili negara ke Academy Awards ke-96 bagi kategori kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik. Cuma sayangnya, tidak tersenarai dalam Top 5.
Bercakap tentang pengarahan, Amanda melunaskan tanggungjawab dengan baik. Penulis dapat rasakan semangat feminisme suntikan beliau cukup mendalam dalam Tiger Stripes.
Barangkali, kaum Adam mengambil enteng soal ‘datang bulan’ yang dialami kaum Hawa.
Ingin memastikan penjagaan sentiasa dalam keadaan bersih bukan mudah, apatah lagi, andai kejadian tersebut pertama berlaku dalam hidup seseorang remaja wanita.
Amanda bijak mencantumkan plot penceritaan. Misalnya, ada babak yang berkemungkinan membuatkan audiens hilang fokus, beliau isi atau tampal momen tersebut dengan adegan yang mengejutkan.
Penulis secara peribadi adakalanya ‘tertipu’ dengan gaya pengarahan sedemikian, namun itu adalah pendekatan yang tidak semua pengarah mampu jalankan tanpa membuatkan penonton berasa dibohongi.
Dalam masa sama, Tiger Stripes juga mengangkat isu buli, tabu, (sedikit) keagamaan dan keibubapaan dengan cukup bergaya.
Dalam konteks buli, dapat dilihat menerusi karakter utama Zaffan yang dipulaukan rakan-rakan, termasuk kawan baiknya,
Farah (Deena Ezral) dan Mariam (Piqa) hanya kerana kejadian datang haid yang menjurus ke arah misteri lain, iaitu dirasuk saka harimau.
Kontroversi agama dapat dilihat menerusi karakter Dr. Rahim (Shaheizy Sam), seorang yang berserban cuba memperkotak-katikkan agama demi kepentingan sendiri.
Berbalik soal dua perenggan terdahulu, sinergi lakonan antara watak Zaffan, Farah dan Mariam adalah apa yang membuatkan Tiger Stripes begitu ‘bernyawa’.
Terasa seolah-olah tiga pelakon muda itu sudah lama mengabdikan diri dalam dunia lakonan. Kualiti lakonan yang mereka bahkan tercerna sempurna, tidak seperti yang diserlahkan kebanyakan pelakon slot drama Akasia TV3. Mereka terlihat semula jadi, tidak ‘try hard dan selayaknya dipuji.
Kendatipun, ada yang kurang berpuas hati dengan penamat filem ini yang bagi penulis itu adalah pendapat peribadi setiap orang.
Barangkali apa yang ingin diterjemahkan pengarah adalah, jaga anak-anak gadis kita dengan baik, jangan sampai menyesal kemudian hari dek terbawa-bawa deras arus media sosial, terutama TikTok; sebuah medium kadang-kadang melalaikan.
Apa pun, Tiger Stripes terkandung kualiti tersendiri sebagai sebuah filem tempatan yang memberi rasa.
Kalian perlu tonton dengan berlapang dada dan pakai ‘kaca mata’ serta hadam isu tersirat ingin disampaikan. Markah untuk filem ini anggaranmya adalah, 80/100. – HIBGLAM