VOKALIS kumpulan Ungu, Pasha mengakui band dari Malaysia banyak memberi pengaruh dan inspirasi kepada industri muzik Indonesia pada era 1990-an.
Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 45, ketika menjayakan konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless, malam tadi turut menzahirkan penghargaan kepada pemuzik Malaysia kerana telah banyak mencetuskan ilham serta inspirasi kepada band-band di Indonesia untuk berkembang.
Saya harus membuat pengakuan kepada penonton di Malaysia bahawa band dari negara ini sebenarnya telah banyak memberi pengaruh dan inspirasi kepada muzik di Indonesia.
“Di kesempatan ini, saya mewakili pemuzik dari Indonesia ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan pemuzik di Malaysia kerana sudah banyak memberi rujukan kepada kami,” ujarnya di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Menerusi konsert berdurasi dua jam itu, Pasha turut menghiburkan kira-kira 5,000 penonton yang hadir dengan menyanyikan dua lagu popular kumpulan Exist (Mencari Alasan) dan Ukays (Di Sana Menanti Di sini Menunggu) sebagai tanda penghargaan terhadap band dari Malaysia.

PASHA memberi persembahan bertenaga dengan menyanyikan hampir 30 buah lagu. Foto AFIQ RAZALI
Tambah Pasha lagi, selain muzik dari Eropah dan Timur Tengah, karya-karya dari Malaysia terutama pada era 1990-an juga banyak mempengaruhi industri muzik di Indonesia.
“Selain muzik luar contohnya dari Eropah dan Timur Tengah, muzik dari Malaysia pada era 1990-an juga berpengaruh di Indonesia.
Di kesempatan ini, izinkan kami memberikan penghormatan kepada pemuzik dan rakyat Malaysia menyanyikan lagu tersebut (Mencari Alasan dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu).
“Terima kasih kerana menghasilkan laghu-lagu yang hebat untuk kami,” jelasnya.
Konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless yang dianjurkan oleh Icon Entertainment dan Ake Group itu menyaksikan Ungu menghiburkan peminat mereka dengan seleksi 20 lagu malar segar seperti Cinta Dalam Hati, Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Tercipta Untumu dan Andai Ku Tahu.
Selain Pasha selaku vokalis, Ungu yang ditubuhkan pada 1996 di Jakarta turut dianggotai Enda selaku pemain gitar, Oncy (gitar), Makki (bes) dan Rowman (dram). – HIBGLAM