PELAKON Azri Iskandar melahirkan rasa terkilan mendakwa namanya beberapa kali ditolak oleh stesen televisyen tanpa diberikan alasan yang munasabah.
Menurut Azri atau Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar, 56, tindakan pihak stesen televisyen tersebut tidak sepatutnya berlaku sekaligus menjejaskan sumber pendapatannya yang selama ini bergantung pada kerjaya lakonan sahaja.
“Sebenarnya banyak tawaran diterima tetapi apabila nama dihantar kepada stesen televisyen, tidak lulus pula. Itu membuatkan saya rasa hairan.
“Apa watak yang saya tak boleh lakukan dan bahagian mana yang saya tidak bagus? Sedangkan saya boleh buat semua (watak),” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Janna Enduro di sini, semalam.
Tambah Azri, dia juga tidak menerima sebarang penjelasan daripada pihak stesen TV berkenaan dan bersedia sekiranya perku berjumpa bagi mengenalpasti punca permasalahan itu.
“Saya belum minta penjelasan lagi sebab tidak berpeluang berjumpa dengan pihak stesen televisyen.
“Kalau jumpa, saya akan tanya apa kriteria yang mereka mahukan. Saya nak tahu mengapa pelakon lain dapat watak tersebut tetapi saya ditolak sedangkan itu hanya karakter seorang ayah yang ‘handsome’ sahaja,” ujarnya.
Bekas suami kepada aktres Ellie Suriaty itu juga menepis dakwaan perkara tersebut berlaku gara-gara kontroversi membabitkan kisah cintanya sebelum ini.
“Saya rasa bukan sebab kontroversi sebab semua itu berlaku pada tahun lalu. Saya masih terima banyak tawaran meskipun selepas isu itu berlaku.
“Buat masa sekarang, lakonan sahaja sumber pendapatan saya. Harap masalah ini dapat diselesaikan segera,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Azri dalam program hiburan mendedahkan dia tidak lagi menerima sebarang tawaran berlakon.
Perkara tersebut mencetuskan tanda tanya dan mempersoalkan tindakan pihak stesen televisyen tersebut. – HIBGLAM