‘Allah ada, kemenangan pasti tiba’

“LAWAN tetap lawan.”

Demikian luahan wanita bernama Nazatul Nazira yang disaman pelakon sensasi, Puteri Sarah membabitkan tuntutan berjumlah RM1 juta.

Ahli perniagaan yang sebelum ini membuat pengakuan menjadi rakan kongsi kepada ibu tunggal dua anak itu juga seakan membayangkan ada sinar di hujung jalan.

Allah ada. Jadi, tak perlu risau dengan kekalahan hari ini. Kemenangan selamanya pasti tiba,” tulisnya dalam perkongsian Instagram Story.

TANGKAP layar hantaran yang dimuat naik Nazatul Nazira di Instagram Story miliknya.

Meninjau ruangan komen dalam hantaran gambar terbaharu wanita terbabit, HibGlam mendapati ramai netizen  menyerangnya dengan kata-kata sindiran.

Ini ke yang nak kena saman RM1 juta?” tulis seorang pemilik akaun laman sosial.

“Muka dah sopan tapi status cakap orang ambil dadah, bodoh sombong. Perbuatan tak seiring pakaian,” kata netizen lain.

Dalam pada itu, ada juga yang mempertahankan Nazatul Nazira yang dikatakan telah lama menjadi pengasas produk dan membantu ramai ahli perniagaan lain.

Dah lama ikut Nazira, dia ada syarikat sendiri, bos, ketua dan stokis besar. Wanita bijak, kagum sangat, ‘founder’ kat Malaysia terhutang budi,” tulis seorang pengikut.

Semalam, Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, menerusi peguamnya memaklumkan membuat tuntutan undang-undang terhadap wanita terbabit atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Selain ganti rugi sebanyak RM1 juta, antara gesaan tuntutan adalah permohonan maaf secara terbuka atas fitnah yang bertujuan menjatuhkan reputasi pelakon berkenaan.

Tuntutan yang dikemukakan peguamnya menerusi surat adalah sebagai ganti rugi kerosakan yang dilakukan terhadap status, reputasi, maruah, imej serta tekanan psikologi dan/atau mental dan/atau emosi yang dialami Puteri Sarah.

Berdasarkan notis dikeluarkan, terdapat lima bukti kenyataan dimuat naik dalam Instagram iaitu menuduh Puteri Sarah mengambil dadah, menganggap diri rakan kongsi, menggelar pelakon itu bodoh sombong, menyara atau membela individu dipercayai bernama ‘Andy’ dan ketua yang tidak bertanggungjawab terhadap pekerja.

Sementara itu, Puteri Sarah tidak memberikan maklum balas kepada HibGlam sama ada individu terbabit sedia membuat permohonan maaf secara terbuka atau sebaliknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok