BARU-BARU ini media Korea melaporkan kisah pelakon dan penyanyi Korea Selatan, Uhm Jung-hwa mengakui tidak terfikir untuk mendirikan rumah tangga walaupun sudah berusia 54 tahun.
Selain Jung-hwa, ramai selebriti negara kimchi itu menganggap perkahwinan bukan satu keperluan, terutama buat golongan milenium yang selesa hidup membujang
Kehidupan di Korea Selatan, bukanlah satu perkara mudah terutama bagi selebriti memandangkan populariti mereka turut bergantung status perkahwinan.
Bagi kebanyakan selebriti, bercinta sahaja boleh menjejaskan populariti sekali gus membuatkan ada yang terpaksa berbohong mengenai status demi terus kekal relevan dalam industri.
Ada juga selebriti yang secara terbuka bercakap tentang keengganan menamatkan zaman solo atas alasan tersendiri.
Kim Hye-soo
Pelakon Kim Hye-soo tidak menentang idea untuk menjadi bujang selama-lamanya, cuma disebabkan kisah silam, aktres berusia 50 tahun itu lebih selesa menguruskan kehidupan sendiri.
Mungkin bagus untuk hidup sebagai seorang isteri, tetapi lebih baik jika dapat hidup sendiri.
“Kita mempunyai pilihan dalam hidup dan saya tidak nampak menjadi isteri kepada seseorang dapat memenuhi kebahagiaan hakiki,” katanya.
Begitupun, Hye-soo tidak menjelaskan trauma yang dilalui sehingga dia bertegas mahu hidup solo.
Sunny
Anggota Girl’s Generation, Sunny beberapa kali menegaskan tiada keinginan untuk bergelar isteri kerana berasakan dirinya bukan individu yang sesuai untuk berkahwin.
Penyanyi berusia 35 tahun dia turut berseloroh tidak pernah terfikir mampu menguruskan hidup seorang suami.
Saya tidak tegas ataupun bijak untuk hidup dalam perkahwinan,” katanya semasa muncul dalam rancangan realiti Joy Survival.
Penyanyi itu juga sedar bahawa perkahwinan adalah tentang hubungan bersama sebagai pasangan, namun dia tiada keinginan tersebut.
Wonho
Memiliki badan berotot dan rupa yang kacak, penyanyi Wonho mempunyai alasan tersendiri untuk tidak berkahwin.
Bekas ahli kumpulan Monsta X itu turut menjelaskan bahawa adiknya sahaja sudah boleh meneruskan salasilah keluarga
Saya tidak berminat untuk berkahwin. Saya tak pernah fikirkan ke arah itu.
“Adik saya akan berkahwin dan dia boleh meneruskan salasilah keluarga, jadi saya tidak terlalu bimbang,” kata penyanyi berusia 31 tahun itu.
Han So-hee
TERLIBAT dalam drama The World Of The Married sebagai orang ketiga memberikan pelakon Han So-hee perspektif baharu tentang makna sebenar sebuah perkahwinan.
“Saya tidak fikir saya boleh berkahwin. Ini bukan hanya kerana kecurangan dan perselingkuhan.
Watak Go Ye-rim dan Son Jae-hyuk, terdapat kecurigaan, kegelisahan, ketidakpercayaan, dan rasa kekurangan dalam perkahwinan mereka.
“Drama ini menggambarkan proses terperinci keluarga yang berpecah. Saya mula tertanya-tanya bagaimana saya mampu menjadikan kehidupan berumah tangga itu membahagiakan,” katanya.
Jung Hyuk
DISEBABKAN trauma berdepan perpisahan orang tuanya, personaliti televisyen Jung Hyuk juga enggan berkahwin.
Jejaka yang berusia 33 tahun itu mendedahkan, dia terpaksa tinggal bersama bapa sejak kecil.
Ketika itu, hidupnya mula terabai kerana bapanya terlampau sibuk bekerja mencari wang.
Saya cemburu melihat kawan-kawan yang dapat meluangkan banyak masa bersama ibu bapa mereka.
“Akibat memori ketika kecil, saya memutuskan untuk tidak berkahwin,” katanya pada Ogos 2019 semasa dalam rancangan The Quack Philosophers. – HIBGLAM