4 aktor ternama kembali hangatkan K-drama 2024

PEMINAT K-drama pasti tertunggu-tunggu sajian yang bakal dipertontonkan sepanjang tahun ini.

Pastinya, setiap peminat K-drama lebih teruja menyaksikan sesebuah naskhah andai dibintangi aktor atau aktres kegemaran yang mencairkan perasaan sebagai bintang utama.

Umum juga pasti menyedari ada nama besar dalam dunia lakonan memilih untuk berehat seketika daripada menerima tawaran.

Daebak kali ini menyenaraikan beberapa aktor yang akan buat kemunculan semula pada tahun ini selepas agak lama tidak menghiasi layar kaca.

Gong Yoo

 

KALI terakhir mengikuti aksi pelakon Gong Yoo adalah pada tahun 2021 menerusi filem Seo Bok dan drama The Silent Sea.

Namun, tahun ini kerjaya seninya akan kembali aktif apabila diumumkan bakal membintangi drama Trunk yang menampilkan sebuah percintaan misteri.

Difahamkan, Gong Yoo juga terlibat dalam siri Netflix popular iaitu Squid Game musim kedua.

Pemilik nama sebenar Gong Ji-cheol mendedahkan sebab utama dia menghilang adalah kerana mengalami kebimbangan selepas kejayaan drama Guardian: The Lonely And Great God.

Hal tersebut menyebabkan bintang Train To Busan itu hilang fokus terhadap naskhah lain.

Meski tidak aktif dalam bidang lakonan pada 2022 dan 2023, aktor berusia 45 tahun itu dilihat sering memenuhi undangan ke pertunjukan fesyen dalam dan luar Korea Selatan.

Lee Min-ho

Selepas kali terakhir muncul dengan drama Pachinko, aktor Lee Min-ho dijangka bakal menggegarkan industri dengan naskhah terbaharu berjudul Ask The Stars.

Ask The Stars merupakan sebuah filem fiksyen sains romantik yang menggandingkan Min-ho bersama Gong Hyo-jin sebagai teraju utama.

Pelakon yang popular menerusi drama Boys Over Flowers itu turut tidak menjelaskan alasan tempoh rehatnya selama setahun sebelum ini.

Meskipun tidak aktif berlakon, Min-ho dilihat kerap menghadiri pertunjukan fesyen dan beberapa acara hiburan pada tahun lalu.

Kali terakhir, peminat bercakap mengenai dirinya yang kelihatan berisi semasa menghadiri Merz Aesthetic Expo di Thailand.

Kim Soo-hyun

SELEPAS terlibat dalam naskhah terakhir berjudul One Ordinary Day pada 2021, pelakon Kim Soo-hyun bakal mengubati rindu peminat tahun ini.

Ramai tidak sabar menantikan kemunculannya dalam drama The Queen Of Tears bersama Kim Ji-won.

Aktor berusia 37 tahun itu sememangnya merancang untuk berehat selama setahun demi memberi laluan terhadap projek jelajah dunianya.

Dia bagaimanapun masih menerima tawaran kerja sebagai wajah kempen untuk beberapa jenama besar dan menghadiri acara hiburan berprestij.

Park Bo-gum

MENYERTAI latihan ketenteraan pada 31 Ogos 2020, pelakon Park Bo-gum telah menamatkan perkhidmatan tersebut pada Februari tahun ini.
Ada dua naskhah bakal disertainya selepas tamat perkhidmatan ketenteraan yang berjudul Good Boy dan When Life Gives You Tangerines.
Difahamkan sebelum menyertai kem tentera, aktor berusia 31 tahun itu sempat melibatkan diri dalam drama Record Of Youth pada 2020.
Rupa-rupanya, ramai tidak tahu filem Seobok yang dilancarkan pada 2021 merupakan nashkah terakhirnya pada 2019. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok