Rezeki saya dapat dekati Puteri Ameerah – Anna Jobling

PELAKON Anna Jobling tidak menyangka kunjungan ke Brunei bertemu peminat membolehkannya bertentang mata dengan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Katanya, dia berbesar hati apabila puteri berusia 16 tahun itu datang bertemunya di sebuah hotel, bahkan memperuntukan sekitar dua jam berbual mengenai pelbagai perkara.

“Sejujurnya saya terkejut apabila dimaklumkan Puteri Ameerah kenal saya dan mahu berjumpa saya. Apabila Puteri Ameerah sampai di lokasi acara, terus saja peluk peluk saya.

Antara terharu dan rasa teruja sebab bukan senang nak jumpa, kiranya saya bertuah dapat kesempatan bertemu Puteri Ameerah.

“Boleh dikatakan lama juga kami habiskan masa berdua ‘girl talk’, lebih kurang dua jam, memang rezeki saya dapat peluang sebegini,” katanya ketika ditemui di Anugerah Gempak Most Wanted 2023, malam tadi.

Menurut pelakon Melur Untuk Firdaus itu lagi, Puteri Ameerah turut mengakui mengikuti perkembangan, selain menonton drama lakonannya.

Puteri Ameerah ada maklum tengok drama saya, tapi saya tak tanya yang mana satu. Malah, Puteri Ameerah kata minat lakonan saya. Sebelum itu saya ada tanya macam mana kenal saya.

“Itu yang Puteri Ameerah dedahkan banyak tonton drama saya. Terharu rasanya sebab saya pun memang ikuti perkembangannya menerusi media sosial,” ujarnya.

Anna, 23, yang dinobatkan sebagai penerima trofi utama Gempak Most Wanted mengakui puteri berusia 16 tahun itu berpersonaliti menarik serta tertib.

Malah, dia juga menyifatkan komen netizen yang menganggap wajah mereka seiras menerusi sebuah gambar dikongsikan dalam Instagram sebelum ini sebagai satu pujian.

“Apabila berdepan dengan seorang puteri sepertinya kita boleh tengok cara serta tertib Puteri Ameerah berbual sehingga cara jalan dan duduk.

Aura positif yang dibawa Puteri Ameerah memang dapat dirasakan dan apabila ada yang menyamakan wajah kami, itu satu pujian besar.

“Ketika berjumpanya tempoh hari memang dua minit juga kami saling berpandangan untuk tengok persamaan yang diperkatakan ramai. Mungkin pada bibir,” tambahnya.

Sebelum ini Anna memuat naik gambar bersama Puteri Ameerah dalam Instagram yang mencetuskan tanda tanya ramai terhadap kunjungannya ke negara itu.

Sementara itu, Brunei antara destinasi persinggahan Anna atau Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman bagi siri jelajah bertemu peminat, sekali gus sebagai tanda penghargaan atas sokongan ramai.

Selepas ini, pelakon yang memancing hati ramai sejak terjun ke arena hiburan lima tahun lalu dijadualkan ke Singapura dan Indonesia bagi melengkapkan misi tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok