ALAHAI manisnya Misya . Cantik dan lemah lembut,”
Demikian kata usahawan selebriti terkenal Wawa Zainal yang melamar wanita didakwa madu kepada pempengaruh Marissa Dania Hakim iaitu Misya Mazlan sebagai wajah keloksi baharu tudung jenama Wawa Scarves.
Dalam satu perkongsian video yang dimuat naik dalam Instagram, Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin memaklumkan ibu kepada dua cahaya mata itu diikat selama tiga bulan bagi mempromosikan produk terkini keluaran syarikatnya.
Rakaman video tersebut menunjukkan Wawa dan isteri kepada Ahmad Aslam itu berjalan berpimpin tangan sambil menggayakan koleksi berkenaan.
Difahamkan majlis memperkenalkan Misya sebagai wajah baharu produk terbabit berlangsung serentak dengan pelancaran koleksi itu semalam.
Menerusi semakan dalam ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan usahawan berusia 31 tahun itu yang berkongsi rezeki dengan Misya saat rumah tangga wanita itu dilambung badai.
Malah, ada dalam kalangan pengikut Wawa turut menyatakan tidak sabar mendapatkan keluaran tudung kali ini sebagai tanda sokongan terhadap wanita teraniaya.
Ini baru betul. Ambil yang teraniaya, bukan yang menganiaya,” kata seorang peminat.
“Sudah tentu beli tudung Wawa sebab sokong wanita teraniaya dan takkan beli mana-mana tudung jenama tempatan yang ambil penyondol jadi model,” tulis pengikut lain.
Sebelum ini nama Marissa yang juga anak Norman Hakim dan Abby Abadi, kembali diperkatakan apabila didakwa mendirikan rumah tangga dengan suami Misya.
Malah gadis yang baharu mencecah 19 tahun itu juga dikatakan bernikah di Songkhla, Thailand secara rahsia ketika isteri pertama lelaki itu mengerjakan umrah.
Sehingga kini, sama ada Marissa, Aslam mahupun Misya belum memberikan sebarang komen berhubung khabar yang sebelum ini disahkan kakak kepada Misya, Nadiah Mazlan. – HIBGLAM