Isteri penyumbang terbesar kemenangan ini – Dr. Say Shazril

MEMANG tak sangka dia (isteri) akan menangis malam ini.”

Itu kata pempengaruh dan pengacara, Dr. Say Shazril yang mengakui  terkejut melihat isteri tercinta, Dr. Azura Abas menitiskan air mata atas kemenangannya sebagai Pencipta Bahan Kandungan (Motivator) Tergempak di Anugerah Gempak Most Wanted 2023, malam tadi.

Pemilik nama sebenar Muhammad Shazril Shaharuddin itu berkata, keadaan tersebut adalah sesuatu yang luar biasa memandangkan suri hatinya itu seorang individu berjiwa kental serta sukar menunjukkan emosi kepada umum.

“Saya tak sangka dia menangis, hakikatnya sumbangan isteri sangat besar terhadap konten yang saya hasilkan sebelum ini.

Isteri yang menyemak semua kandungan sebelum saya muat naik dalam media sosial, kiranya dia sebagai otaknya, manakala saya hanya menjadi penggerak.

“Kebanyakan inti pati yang saya kongsikan adalah menerusi hasil bacaan dan kajian kami bersama,” katanya pada sidang media selepas majlis pengiktirafan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Pada masa sama, pempengaruh berusia 36 tahun itu turut menitipkan pesanan kepada golongan muda yang berminat menjadi pencipta kandungan agar jangan berhenti menimba ilmu dengan mengutamakan pelajaran.

“Hari ini semua orang mahu menjadi pencipta kandungan, mahu jadi terkenal sehingga ada yang berhenti belajar atau enggan menyambung pengajian.

Kita kena realistik, yang berjaya mungkin satu persen. Kena angkat kandungan yang beri manfaat sebab ilmu membolehkan kita bijak memilih konten, mampu kendalikan emosi serta tidak cepat melatah,” ujarnya.

Selain kategori Pencipta Bahan Kandungan (Motivator), terdapat lapan lagi anugerah dipertandingkan dengan 100 peratus undian peminat termasuk trofi utama Gempak Most Wanted 2023 yang dimenangi pelakon, Anna Jobling. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok