Ikat peranakan usia cecah 30 tahun – Elisya Sandha

KEHIDUPAN si cantik ini boleh dikatakan sempurna. Dikurniakan suami penyayang dan kehadiran cahaya mata comel menyerikan mahligai perkahwinan, semuanya lengkap.

Lebih membuatkan pemilik nama pentas, Elisya Sandha itu bertuah apabila dia juga dihadirkan keluarga mentua yang sangat mengasihinya.

Mengakhiri zaman bujang pada usia muda iaitu seawal 22 tahun, tidak sedikit pun menerbitkan rasa kesal pada diri Elisya untuk sama-sama membina serta melayari bahtera rumah tangga bersama suami, Uzair Haqimy dan anak mereka, Bunga Elhaq yang hampir memasuki usia dua tahun.

Berkeluarga juga tidak menghalang wanita berusia 25 tahun untuk terus memburu impian dan mengejar cita-citanya dalam bidang seni.


ELISYA tidak bercadang menambah bilangan cahaya mata dalam masa terdekat, namun tidak menolak jika diberikan rezeki awal.

Bukan tidak puas, namun disebabkan masih ada perkara yang belum dicapai dalam dunia lakonan, Elisya menunda perancangannya untuk menambah bilangan zuriat dalam waktu terdekat.

Kata Elisya, dia tidak terburu-buru untuk kembali berbadan dua kerana masih ada cita-cita yang perlu dikejar, namun tidak menolak sekiranya diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata.

Tahun ini Bunga bakal mencecah usia dua tahun, namun disebabkan saya ada impian yang hendak dicapai, nampaknya perancangan untuk menambah bilangan zuriat terpaksa ditangguhkan.

“Tetapi, kalau diberikan rezeki anak, saya tidak menolaknya. Ada rezeki, adalah. Begitu juga suami. Dia tiada masalah, cuma saya sendiri yang merancang bila mahu kembali tambah anak,” katanya.

Tanpa berselindung, Elisya membuat pengakuan ada berbincang dengan suami untuk tidak lagi hamil apabila usianya mencecah 30 tahun.

ELISYA kini selektif bagi mengelakkan membawakan watak yang lebih kurang sama pernah dijayakan sebelum ini.

Kata wanita kelahiran Perlis itu, sebelum usianya menjangkau 30 tahun, dia akan berhenti daripada hamil.

“Saya pernah cakap dengan suami, sebelum usia 30 tahun, saya nak berhenti (mengandung). Saya tak nak dah.

Jadi saya ada masa lima tahun lagi daripada sekarang. Ikut perancangan saya mahukan anak seramai tiga hingga empat orang, itu pun sudah memadai. Selepas usia 30 tahun, mungkin saya akan ikat sistem peranakan.

“Tapi tengoklah bagaimana, sebab anak itu rezeki Allah SWT. Saya sendiri akui anak itu membawa rezeki yang cukup besar dan saya sangat bersyukur,” ujar Elisya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok