[VIDEO] Diserang vertigo, Fizo Omar tersembam atas sejadah

PELAKON Fizo Omar berkongsi detik cemas apabila tiba-tiba pengsan sewaktu menunaikan solat subuh dan ditahan di wad selama tiga hari untuk menerima rawatan.

Berkongsi perkara tersebut dalam Instagram miliknya, Fizo atau nama lengkapnya Wan Hafizol Wan Omar, 39, berkata, kejadian itu berlaku sewaktu dia berada di rumah apabila tiba-tiba berasa pening untuk menunaikan solat subuh pada 18 Januari lalu.

Hari itu (18 Januari), saya bangun pagi. Ketika hendak mengambil wuduk, dah rasa kepala pening. Ingatkan mamai baru bangun tidur. Rumah terasa seperti berpusing.

“Ketika sedang berdiri untuk solat, tiba-tiba saya tersembam (pengsan) atas sejadah dan tidak sedar apa jadi,” ujar Fizo.

Ketika kejadian itu, Fizo masih dapat mendengar isterinya, Fazeera Nazri Azrai menangis dan menjerit kerana cemas melihat dia  tiba-tiba pengsan depan mata.

“Dengarlah Faz (Fazeera) menjerit-jerit, menangis sebab saya pengsan depan mata. Dia panggil jiran dan telefon ambulan untuk bawa saya ke hospital.

“Saya dengar bunyi ambulan walaupun dalam keadaan sedar tak sedar. Sampai hospital terus buat ujian imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

“Paling risau takut kena strok atau serangan jantung. Tak ada bagi apa-apa petanda, tiba-tiba sakit. Rupanya saya kena vertigo,” jelasnya.

Selepas diberitahu doktor tentang penyakit yang dialaminya, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu mengakui baru pertama kali mendengar tentang vertigo dan tidak tahu apa-apa tentang masalah tersebut.

“Saya pun tidak tahu apa itu vertigo. Pertama kali saya dengar. Rupanya penyakit ini berkaitan dengan keseimbangan badan membabitkan telinga.

Penyakit ini tidah bahaya. Cuma jadi bahaya kalau berlaku ketika sedang memandu kereta, pengsan dalam tandas atau sedang dukung anak.

“Bayangkan saya yang sihat, tidak ada saki tapa-apa, tiba-tiba pengsan begitu sahaja. Nasib baik pengsan atas sejadah yang lembut,” katanya yang cuma mengalami lebam pada mata dan tangan.

Pada masa sama, pelakon drama Pengantin Satu Malam itu sempat menitipkan beberapa pesanan dan nasihat kepada pengikutnya.

“Nasihat saya yang pertama, jaga hubungan baik dengan jiran. Bila Faz panggil jiran, tak sampai lima minit mereka sampai dan terus bertindak cepat untuk menyelamatkan saya dengan menghubungi ambulan.

“Kemudian, lakukan pemeriksaan kesihatan. Sekurang-kurangnya setahun sekali untuk periksa kesihatan badan kita dan terakhir, ambil insurans,” katanya.

Sekadar info, vertigo terjadi disebabkan keadaan yang menjejaskan bahagian dalam telinga atau sebahagian daripada otak manusia yang melibatkan keseimbangan badan. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Fizo Omar (@fizoomar)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok