SEJAK pengumuman bakal kembali ke Kuala Lumpur sekitar November lalu, ramai peminat tegar Letto sudah mula tidak keruan untuk berebut membeli tiket mahu menyaksikan kemunculan Noe selaku vokalis, Patub (gitar), Cornel (gitar), Widi (keyboard) dan Dhedot (dram) di pentas persembahan.
Buktinya, Zepp KL pada 12 Januari lalu ‘full house’ dibanjiri hampir 2,500 peminat setia band Indonesia itu sempena konsert 20th Anniversary Live in Kuala Lumpur.
Tepat pukul 9 malam, pentas dibuka dengan alunan muzik gamelan Jawa daripada barisan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Jogjakarta, Indonesia bagi mengiringi persembahan Letto sepanjang konsert.
Asyik dan meremangkan, bunyi-bunyian tersebut cukup menjadi introduksi persembahan sebelum sang vokalis, Noe muncul mendendangkan lagu Bird Song, Sebenarnya Cinta sebelum Suci Dalam Debu (nyanyian asal Iklim).
Terharu dengan sambutan hebat, Noe menzahirkan ucapan penghargaan kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong Letto sejak 20 tahun lalu.
“Terima kasih untuk semua cinta dan penghargaan untuk Letto selama 20 tahun ini.
“Konsert malam ini ialah mengenai perjalanan kami selama dua dekad. Bermula daripada mimpi, dilabel sebagai band kampung dan kini kami berdiri di sini untuk anda semua,” katanya.

BERMULA perlahan, Letto bagaimanapun berjaya membangkitkan keterujaan peminat menerusi rangkaian lagu popularnya seperti Sandaran Hati, Ruang Rindu dan Permintaan Hati.
Tidak menunggu lama, Noe seterusnya mula menggamit perasaan rindu peminat dengan menyampaikan salah satu lagu berhantu mereka, Sandaran Hati yang popular sekitar 2006 dan pernah menjadi runut bunyi sinetron Indonesia berjudul, Wulan.
Fatwa Hati, Lubang di Hati dan Kedamaian Hati antara lagu yang mengisi babak kedua sebelum pentas dirancakkan dengan sebuah lagi karya kegilaan ramai, Permintaan Hati.
Semuanya berkisah soal hati. Menariknya, Permintaan Hati dimainkan dalam beberapa versi iaitu metal, dangdut dan Jawa diiringi muzik gamelan.
Noe tidak ubah seperti ‘balas dendam’ selepas lebih 10 tahun tidak beraksi di Malaysia.
Memasuki babak ketiga, Layang-Layang, Senyumanmu dan Kangen Desa menjadi seleksi dendangan sebelum kesemua ahli kumpulan bergilir-gilir menyampaikan sebuah lagu legenda tanah air, Isabella.
Pentas sekali gamat dengan persembahan lagu Truth Cry and Lie, Ruang Rindu dan Sebelum Cahaya yang merupakan lagu terakhir untuk malam konsert.
Dendangan lagu-lagu ‘berhantu’ zaman awal 2000-an cukup menggamit perasaan rindu peminat di Kuala Lumpur yang sudah menanti konsert berskala besar mereka.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM