PENYANYI Amelina membuat kejutan apabila menzahirkan penghargaan terhadap rakan gandingannya suatu ketika dulu, Iwan Syahman pada Konsert Milenia 2024, malam tadi.
Ratu Dangdut itu meluahkan terima kasih dengan menghadiahkan cenderamata kepada anak Iwan iaitu pelakon Aprena Manrose yang memberikan sokongan kepadanya di Zepp Kuala Lumpur.
Terima kasih Iwan kerana Memori Daun Pisang bagi nyawa terhadap karier nyanyian saya bahkan menjadi lagu berhantu sampai sekarang.
“Hadiah daripada penganjur ini saya mahu berikan kepada anak Iwan, tanpa bapanya saya takkan berada di sini,” katanya sebelum membawakan seleksi ketiga dalam konsert tersebut.
Tindakan spontan pemilik nama lengkap Norazlina Amir Sharipuddin mengundang sorakan lebih 1,000 penonton yang membanjiri lokasi persembahan mega tersebut.
Nama bekas penyanyi dangdut yang kini menjadi pendakwah bebas utuh dalam ingatannya berikutan gandingan serasi mereka sekitar 90-an menjadi fenomena.
Selain Amelina, 49, konsert yang menggabungkan artis dangdut tempatan dan Indonesia itu turut membariskan Mas Idayu, Baby Shima, Ani Mayuni serta Rheyna Morena, Hesty Klepek dan Thomas Arya.
Berlangsung hampir tiga jam, konsert dangdut pertama di Zepp KL itu berjaya direalisasikan selepas tiga kali tertunda atas beberapa faktor termasuk penganjur, Mission Sight Sdn. Bhd. ditipu ejen.
Antara seleksi popular yang dipersembahkan adalah Cintaku 100% nyanyian Mas Idayu, Dasar Buaya Cinta (Ani), Cintaku Klepek Klepek (Hesty), Memori Daun Pisang (Amelina) dan Pura-Pura Bujang (Baby Shima).
Thomas yang tampil sebagai satu-satunya penyanyi lelaki membuat persembahan penutup menyampaikan lagu hit dendangannya termasuk Berbeza Kasta dan Bunga.
Antara selebriti tempatan yang datang memberikan sokongan adalah Datuk Seri Vida, Datuk Ifa Raziah, Ayu Damit, Kak KM, Azharina Azhar serta Syafiq Erwin. – HIBGLAM