“GILA ke saya nak rosakkan nama saya sendiri?”
Itu respons personaliti masakan popular, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang berdepan tuduhan menganiaya pekerja restorannya.
Menurut Chef Wan, perkara berkaitan pengurusan atau sumber manusia Kumpulan Restoran Chef Wan (CWGR) bukan bawah kendaliannya kerana dia hanya bertanggungjawab mengendalikan resipi serta menjaga kualiti makanan.
Sejak awal bekerjasama, saya sudah terangkan secara jujur dan ikhlas. Saya tak buat keputusan untuk gaji kakitangan atau mengambil, memecat kakitangan dan operasi.
“Jadi, saya tanya rakan perniagaan dan Pengurus Besar untuk jelaskan kepada saya jika betul (dakwaan) kerana membabitkan nama saya yang tidak berdosa ini.
“Saya dimaklumkan bahawa dakwaan itu tidak betul,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Menurut Chef Wan, memang ada kakitangan yang diberhentikan dan dipotong gaji atas faktor prestasi kerja, tidak berdisiplin atau didapati menipu syarikat.
“Sebahagian pekerja ini sebenarnya tidak gembira dan berhenti kerja selain ada pula yang asyik bergaduh sehingga memberi kesan kepada kualiti perkhidmatan serta makanan kami.
Takkan mereka sampai tak boleh ditegur? Takkan sebagai majikan, kita nak tunduk kepada fitnah atau ugutan mereka?
“Jadi, saya cuba memahami keadaan kedua-dua pihak sehingga ke akar umbi bagi mencari punca supaya nama saya tak tercalar kerana saya yang tersepit di tengah-tengah,” ujarnya.
Baginya dia tidak mungkin melakukan perbuatan yang menganiaya pekerja tanpa sebarang sebab.
Tengok air muka saya baik-baik, adakah saya jenis manusia yang suka menipu? Nampak sangat tuduhan datang dari hati tidak baik.
“Jangan fitnah saya. Hanya kerana tidak setuju dengan polisi syarikat, saya dikatakan penipu,” ujarnya.
Sebelum ini tular di media sosial tentang pendedahan seorang pekerja di restoran De.wan 1958 by Chef Wan yang mendakwa gajinya dipotong sebanyak RM1,000 tanpa diberikan sebab munasabah.
Susulan itu Chef Wan menjadi sasaran kecaman ramai memandangkan restoran berkenaan menggunakan namanya.
Pengurusan CWGR pula mengeluarkan kenyataan penularan itu adalah berita palsu, malah syarikat terbabit memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang. – HIBGLAM