ISNIN lalu, penyampai radio, Fizi Ali dan bekas isterinya juga pelakon, Shakilla Khoriri hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk sebutan kes hadanah (tuntutan hak penjagaan anak) membabitkan cahaya mata tunggal mereka, Ameena Sofia.
Biar rumah tangga yang mereka bina telah menemui keruntuhan sejak Disember 2021, namun konflik kedua-duanya seakan-akan tiada petanda akan tamat.
Bermula dengan rungutan kerinduan terhadap anak Fizi atau nama sebenarnya Mohd. Hafizudin Alimudin, 37, bertindak memfailkan kes hadanah terhadap bekas isterinyaselepas mendakwa Shakilla enggan membenarkan dia bertemu dengan anak mereka.

Shakilla dan bekas suami, Fizi Ali kini berdepan krisis penjagaan anak mereka, Ameena selepas bercerai dan ‘move on’ dengan kehidupan masing-masing.
Ketika di mahkamah, air mata jantan lelaki itu gugur, dakwanya tidak dapat menahan rasa sedih selepas dua bulan tidak berjumpa dengan Ameena yang kini berada bawah jagaan Shakilla.
Mahu masalah yang dihadapi diselesaikan dengan cara adil, Fizi mendakwa terpaksa menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan semula haknya sebagai bapa.
Gala minggu ini menyenaraikan beberapa nama pasangan selebriti lain, yang pernah atau sedang berdepan situasi serupa membabitkan hak penjagaan anak selepas berpisah.Perceraian hanya perpisahan dua individu, suami dan isteri bukannya dengan anak.
- Tom Cruise dan Katie Holmes
Pasangan terkenal Hollywood, Tom Cruise dan Katie Holmes juga tidak terkecuali apabila pernah bertelagah tentang isu perebutan hak penjagaan anak mereka, Suri, selepas bercerai pada 2011.
Selepas berpisah, timbul konflik terhadap perebutan hak penjagaan ke atas Suri apabila masing-masing tidak mahu mengalah sehingga kes dibawa ke mahkamah.
Kes yang berlangsung selama setahun itu akhirnya menyaksikan Holmes mendapat hak penjagaan sepenuhnya ke atas Suri.
Manakala Cruise pula masih dibenarkan untuk melawat dan mengambil anaknya pada masa-masa tertentu.
Namun, hari ini timbul dakwaan mengatakan Cruise telah mengabaikan anaknya selepas didakwa sudah lama tidak berjumpa dengan gadis yang kini berusia 17 tahun itu.
- Maia Estianty dan Ahmad Dhani
Perceraian antara penyanyi Maia Estianty dengan Ahmad Dhani pada 2008 sempat menjadi perhatian media dan peminat dunia hiburan.
Selain isu orang ketiga melibatkan penyanyi Mulan Jameela, Maia dan Ahmad Dhani sempat berkecamuk dengan drama perebutan hak penjagaan anak mereka iaitu Al Ghazali, El Rumi dan Dul Jaelani.
Kes yang dibawa ke mahkamah akhirnya menyaksikan Maia memperoleh hak penjagaan penuh ketiga-tiga anak lelakinya.
- Adam Shahz, Fatin Afeefa
Selepas hampir tujuh bulan turun naik mahkamah sejak Januari 2023, aktres Fatin Afeefa diberi hak penjagaan sementara anak perempuannya iaitu Ivy Herra Sophia oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Ogos tahun sama.
Keputusan tersebut disambut gembira Fatin walaupun kes induk hadanah (penjagaan penuh) masih lagi berjalan.
Pemilik nama penuh Fatin Nur Afifah Shamsudin, 30, itu juga memberitahu, Ivy akan berada bawah jagaannya sehingga kes tuntutan hak penjagaan anak selesai.
Terdahulu, episod perebutan hak penjagaan Ivy bermula apabila bekas suami Fatin, iaitu Adam Shahz yang juga pelakon memfailkan tuntutan hak penjagaan ke atas Ivy selepas mendakwa lebih dua bulan tidak dapat berjumpa dengan anaknya.
- Mizz Nina dan Noh Salleh
Baru-baru ini, timbul isu apabila penyanyi Noh Salleh dikatakan ‘menculik’ anak angkatnya yang dijaga sejak bayi ketika masih bergelar suami kepada Mizz Nina iaitu Musa.
Noh menyangkal dakwaan tersebut apabila memberitahu tiada sebarang insiden penculikan yang berlaku memandangkan Musa diambil dengan cara yang sah, selain selamat bawah jagaannya.
Namun, pada 13 Januari lalu, Noh terpaksa menyerahkan semula Musa kepada Nina selepas wanita itu datang ke rumahnya bersama perintah interim.
Vokalis Hujan itu berkata, dia akan mendapatkan nasihat peguam bagi tindakan susulan dan percaya dengan perdamaian kerana paling utama baginya adalah kesejahteraan Musa.