TIDAK seperti awal penampilannya dahulu yang kelihatan polos dan suci, netizen menyifatkan anggota kumpulan Blackpink, Lisa sudah hilang aura idola.
Ujar segelintir netizen, penyanyi asal Thailand itu seperti sudah hilang rentak dan hala tuju dalam dunia K-pop dan ‘taringnya’ sudah tidak setajam dahulu.
“Entah mengapa saya lihat Lisa sekarang semakin liar, tidak polos seperti awal kemunculannya dahulu. Dia seperti hilang aura selepas bercinta dengan lelaki Perancis itu,” ujar netizen itu.
“Lisa harus berhati-hati, saya risau dia hilang begitu sahaja sebab sekarang sudah ramai idola baharu yang semakin bagus. Kalau dia tidak buat sesuatu, namanya akan lenyap,” demikian komen seorang lagi netizen.
Begitupun, terdapat juga netizen yang membela pelantun lagu Money itu dan menegaskan idolanya itu kini sedang mencari masa untuk diri sendiri selepas sekian lama beraksi di kemuncak dunia K-pop.
“Lisa tetap berbisa seperti dahulunya, mungkin sekarang dia sudah matang dan perlukan masa untuk dirinya sendiri.
“Bukan hilang bisa tetapi beri laluan kepada idola lain juga,” ujar pemuja bakatnya itu.