“Demi kesejahteraan anak-anak kami memilih untuk berkomunikasi dengan baik selepas bercerai.”
Demikian perkongsian perlakon dan pengacara cantik, Yasmin Hani yang mengekalkan hubungan baik dengan bekas suami, Sha’arin demi memastikan dua zuriat mereka membesar dengan kasih sayang ibu bapa seperti kanak-kanak lain.
Yasmin turut memaklumkan komunikasinya dengan pemuzik bebas itu semakin baik selepas mereka berpisah bahkan mereka berhubung hampir setiap hari bagi urusan persekolahan dua anak lelaki yang kini bawah jagaannya.
“Sekarang boleh dikatakan saya lagi banyak berborak dengan Sha’arin berbanding Alif Hadi (kekasih) sebab mudah untuk mengatur hal mengambil dan menghantar anak ke sekolah.
“Kami juga memilih untuk lebih bertamadun dengan mengelak mencaci maki sesama sendiri selepas tidak lagi bergelar suami isteri kerana enggan anak kami terkena tempias perceraian.
“Kami pun tidak menyangka mampu serukun ini, bahkan saya sentiasa doakan Sha’arin dipanjangkan umur dan dimurahkan lagi rezeki,” katanya pada tayangan perdana drama bersiri Gemersik Berbisik, semalam.
Menurut pemilik nama penuh Yasmin Hani Ismail Richardson, 44, itu, dia juga bakal menyertai anak-anak meraikan hari jadi bapa mereka di Bali, Indonesia pada Mac depan.
Lebih mengujakan, Sha’arin atau Sha’arin Mohamed Razali, 60, turut merancang untuk membawa anak-anak mengerjakan umrah tahun ini.
Dia ada sebut nak bawa anak-anak kami menunaikan umrah dan saya yang belum pernah ke Tanah Suci turut memasang niat menyertai mereka.
“Sebelum ini Sha’arin pernah ke Mekah, tapi saya baharu pertama kali kalau diberikan rezeki dapat beribadah dengan anak-anaknya,” ujarnya.
Pada masa sama, bekas hos program Muzik@Ria itu mengakui keakraban dengan bekas suami turut meraih perhatian ramai yang meminta nasihat daripadanya.
Saya ada menerima mesej langsung (DM) daripada individu yang mahu meminta cerai dan telah berpisah mendapatkan nasihat menjaga hubungan baik demi anak mereka.
“Tapi saya sendiri tak berani nak bagi pandangan kerana perkahwinan saya pun berakhir tetapi cuma boleh katakan fikir panjang dulu selain minta jangan berebut anak,” ulasnya.
Terdahulu, Yasmin dan Sha’arin yang juga pemain dram Blackrose mendirikan rumah tangga pada 2015 dan berpisah selepas 10 tahun berpunca daripada tiada persefahaman.
Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong, 10, dan Eissa Elzander Wong, 7. – HIBGLAM