DIDAKWA menghisap rokok elektronik atau vape ketika tampil menerusi video siaran langsung dalam TikTok, pelakon Puteri Sarah Liyana dikecam netizen apabila disifatkan melakukan tindakan tidak bermoral.
Enggan isu berlanjutan, pembantu peribadi aktres berkenaan yang dikenali sebagai Acu menjelaskan, peranti berkenaan adalah miliknya namun pod digunakan tidak mengandungi sebarang kandungan nikotin.
“Apabila Puteri Sarah mula membebel, saya pun hulurkan vape tersebut. Saya minta maaf sebab terbagi benda itu kepadanya.
“Saya tidak mengajar dia menghisap vape, memang silap saya. Saya minta maaf banyak-banyak kepada peminat Puteri Sarah.
Pod ini saya beli di Jakarta dan tidak mengandungi bahan nikotin seperti mana yang dijual di Malaysia,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Pada masa sama, aktres berusia 39 tahun itu turut menegaskan vape yang disedut bebas nikotin selain meminta orang ramai supaya berhenti berfikir bukan-bukan.
“Anda semua jangan risau. Kalau di Malaysia memang ada nikotin tetapi yang ini dibeli dari Jakarta seperti shisha.
Memang kosong tiada nikotin dan hanya mempunyai perasa,” ujar Puteri Sarah bernada serius.
Sebelum ini meledak dalam media sosial apabila ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu kelihatan terbuka dan berani mati menghisap vape sewaktu bersiaran langsung dalam TikTok.
Difahamkan, pelakon drama Hijrah Jannah itu ketika itu sedang rancak bersembang mengenai isu pecah amanah yang dilakukan pekerjanya seraya menyedut vape dan menghembuskan asap pada skrin telefon beberapa kali.
Susulan itu, netizen terkejut, sekali gus menyelar tindakan tidak bermoralnya itu menerusi ruangan komen siaran langsung tersebut – HIBGLAM