PELAKON jelita, Puteri Aishah mengumumkan dirinya kini berbadan dua selepas hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Berita gembira itu dikongsi Aishah, 30, menerusi sebuah hantaran video dalam Instagram miliknya, semalam.
Seekor rama-rama yang akan bertukar menjadi kaki kecil,” tulisnya.
Dalam video tersebut, Aishah yang dilihat mengenakan pakaian berona merah jambu, turut ditemani suaminya, Muhammad Firdaus semasa bercuti di Korea Selatan.
Malah, pelakon drama Rahimah Tanpa Rahim itu juga dilihat menayang sambil mengusap perutnya yang kian membesar.
Bagaimanapun, pelakon itu tidak berkongsi butiran terperinci termasuk usia kandungannya.
Dalam ruangan komen, ramai rakan artis turut berkongsi rasa gembira dan meninggalkan ucapan tahniah kepada pasangan tersebut.
“Alhamdulillah. Tahniah Aishah dan suami,” kata pengacara Uyaina Arshad.
“Tahniah cantik!” ujar pelakon Amelia Henderson.
“Tahniah! Gembiranya!” ujar pelakon Zahirah MacWilson.
Terdahulu, Aishah mendirikan rumah tangga bersama Firdaus yang juga ahli perniagaan pada 21 November 2021, selepas tiga tahun mengenali hati budi masing-masing.
Majlis yang diadakan secara sederhana di Ballrooms JW Marriot Kuala Lumpur itu membabitkan keluarga dan kenalan terdekat kedua belah pihak ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19.
Selepas setahun mendirikan rumah tangga, Aishah kerap diajukan soalan ‘cepumas’ perihal anak dan akur apabila masih belum diberikan rezeki untuk menimang zuriat. – HIBGLAM