Penangan pembunuh upahan kacak, Justin Chien

WATAK Charles Sun anak sulung kepada ketua gangster Taiwan yang berbadan sasa dan hebat dalam seni mempertahankan diri dalam siri terbaharu Netflix, The Brothers Sun membawa tuah kepada aktor Justin Chien.

Masakan tidak, baru sahaja ditayangkan pada 4 Januari lalu kemunculan aktor kelahiran Taiwan yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu di samping pelakon terkenal, Tan Sri Michelle Yeoh pantas menarik perhatian khalayak.

Berkongsi pendapatnya tentang sambutan hangat penonton, pemuda berusia 26 tahun itu berasa lega kerana kerja kerasnya sebelum penggambaran siri itu ternyata berbaloi.

Mencintai seni mempertahankan diri sedari kecil, Justin yang memiliki asas dalam sukan gusti, muay Thai dan jujitsu terpaksa mempelajari taekwondo, karate dan kali (seni mempertahankan diri Filipina) dan penggunaan pisau.

“Saya mengikuti 10 sehingga 11 sesi latihan seni mempertahankan diri seminggu dan jadual latihan itu berlangsung selama dua minggu.

“Sudah tentu ada aksi yang saya tahu, tetapi banyak aksi seni mempertahankan diri yang perlu saya asah kembali demi siri ini.

“Saya sangat sukakan seni mempertahankan diri kerana itu rutin harian saya. Mengikuti latihan adegan aksi membantu saya membina watak Charles Sun dengan baik,” ujarnya.

Bergandingan dengan Mama watak yang dibawakan Michelle Yeoh memberi perspektif yang baharu buat Justin dalam lakonan aksi lagak ngeri.

Memiliki gaya lawan yang agak berbeza, Justin mengakui bintang kelahiran Malaysia itu banyak membantunya menghilangkan rasa gugup dan gementar ketika di set penggambaran.

“Michelle memegang watak ibu saya dalam siri ini dan dia benar-benar menjaga saya seperti anaknya. Dia banyak membantu dan memberi nasihat antaranya, sentiasa bersiap sedia secara fizikal tetapi meminta untuk saya tidak gementar secara mental.

“Jadi, saya hanya berlakon mengikut adegan demi adegan dan merasai emosi rakan lakonan saya. Nasihatnya sangat membantu dan hasilnya seperti yang anda tonton,” kata Justin.

Keluarga

Menyambung bicara tentang siri aksi komedi itu, Justin menyifatkan karya ciptaan Byron Wu dan Brad Falchuk itu cukup dekat jiwanya.

Siri sebanyak lapan episod itu mengisahkan keluarga penjenayah atau gengster berasal dari Taiwan yang diburu sehingga ke Los Angeles oleh pesaingnya.

Meskipun jalan ceritanya adalah kisah gengster Asia yang tipikal, namun perjalanan setiap watak dan adegan siri ini cukup menarik dan memecahkan perut.

“Cerita ini mudah dihadam bukan sahaja oleh kami barisan pelakon tetapi juga penonton kerana berkisar tentang keluarga.

“Watak Charles Sun anak sulung yang harus memikul semua tanggungjawab dan keselamatan keluarga sementelah adik bongsunya pula bebas mencorakkan kehidupan sendiri merupakan cerita yang dilalui oleh semua orang.

“Malah, adegan-adegan tipikal keluarga Asia seperti ibu yang garang dan perlu menghormati golongan yang lebih tua perkara yang normal untuk saya kerana dibesarkan dengan cara yang sama,” tutur Justin sambil tertawa.

Bercakap tentang watak Charles, Justin menyifatkan lelaki yang merupakan pembunuh upahan itu memiliki emosi yang sangat kompleks.

Kelihatan garang dan bengis di luar tetapi jiwanya cukup lembut, selain memiliki hobi membikin kek, dia juga cukup penyayang serta setia terhadap keluarganya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok