BEKAS penyampai radio, Linda Onn manafikan dakwaan meraih pendapatan mencecah RM45,000 sebulan sepanjang berkhidmat di bawah stesen radio, Suria FM.
Kekecohan itu tercetus apabila seorang pengguna Facebook mendedahkan pendapatan penyampai radio, sekali gus memetik nama Linda dalam ruangan komen.
Enggan disalah anggap, Linda atau nama asalnya Rozlindah Onn, 47, menegaskan pendapatannya sebagai seorang penyampai radio tidak pernah mencecah lima angka.
Pandai-pandai sahaja awak cakap begitu. Seronok kalau betul dapat gaji begitu (RM45,000). Mana ada pernah dapat begitu dan sampai ke sudah tidak pernah tinggi.
“Dulu menang anugerah pun, nama tengah gah pun gaji tidak sampai RM10,000. Bertuah penyampai radio sekarang sampai jejak RM50,000 hingga RM150,000 sebulan,” katanya menerusi Facebook.
Dalam masa sama, anak kelahiran Singapura itu teruja apabila mengetahui peningkatan pendapatan yang diterima penyampai radio sekarang yang jauh lebih tinggi berbanding zamannya.
“Zaman dulu lain. Mungkin ada yang dapat RM40,000 hingga RM100,000 tetapi saya tidak. Kalaulah bakat saya dihargai dulu sampai dapat sebegitu, seronoknya.
“Kenapa? Kita terima sahaja. Mungkin standard saya tidak sampai tahap itu. Gembira dengar gaji penyampai radio sudah beratus ribu sekarang.
Masya-Allah banyaknya! Kadang terfikir kenapa saya tidak dapat begitu. Itu bermakna sudah tertulis rezeki sebagitu,” ujarnya lagi.
Sementara itu, dia turut berkongsi proses kenaikan gaji semasa menjadi penyampai radio agak sukar tidak seperti zaman sekarang.
“Mungkin penyampai radio zaman sekarang kualiti, pendekatan, kehendak pendengar dan stesen radio berbeza berbanding dahulu.
Tambah pula, ada orang yang ada nama dipanggil sebagai penyampai radio. Lagilah berharga.
“Dulu nak naik gaji pun kena lalui appraisal, tengok petunjuk prestasi utama (KPI) dan komitmen,” jelas Linda lagi.
Semalam, pelakon Datuk Fauziah Nawi turut mendedahkan pendapatan penyampai radio swasta yang boleh mencecah RM 150,000 sebulan.
Perkongsian tersebut merujuk kepada sumber yang memaklumkan bekas penyampai radio, Tyzo bersikap ‘demanding’ termasuk menuntut kenaikan gaji terutama selepas menang trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Ke-35 (ABP35) tahun lalu.
Jumaat lalu, Suria FM iaitu stesen radio milik Star Media Group Berhad, mengumumkan khidmat Tyzo sebagai penyampai bagi segmen Suria Petang, ditamatkan secara tiba-tiba. – HIBGLAM