Laluan epik nadhir nasar

KREDIBILITI bintang muda, Nadhir Nasar dalam dunia lakonan tidak perlu dipertikai lagi. Berilah apa sahaja watak, pasti dijiwai dengan cemerlang.

Tampak semula jadi, tidak berlebih-lebih setiap lakonannya menjadi sehingga melekat di hati penonton. Dia antara pelapis hero baharu yang paling menyerlah setakat ini sehingga diperakui ramai penggiat seni.

Namun, laluannya yang perlu ditempuh untuk berada di tahap sekarang bukan mudah.

Akui Nadhir, dia pernah melalui episod duka apabila ditolak hanya disebabkan tidak mempunyai pengikut media sosial yang ramai, sampai ke tahap sekarang, Nadhir seboleh-bolehnya mahu mengikis penyakit industri yang satu itu.

Saya pernah berdepan pengalaman ditolak lebih 10 kali oleh stesen televisyen atas alasan pengikut laman sosial saya tidak sebanyak seperti aktor lain yang seangkatan.

“Jadi dari situ saya kena lipatgandakan usaha untuk bagi hasil kerja terbaik dan membuktikan khalayak mengikuti lakonan kita bukan kerana pengaruh dalam platform maya.

“Apapun, pokok pangkalnya usaha serta jangan cepat putus asa. Lakonan adalah nadi saya, kerana itu saya anggap cabaran sebagai ujian untuk melihat sejauh mana saya mampu berlari,” tuturnya sarat pengertian tersendiri.

MENDEDAHKAN pernah lebih 10 kali ditolak stesen televisyen atas alasan kurang pengikut dalam media sosial.

Terbaharu, jejaka kelahiran Michigan, Amerika Syarikat itu, mencuri perhatian ramai apabila muncul dengan filem sulung, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Antara  tanggungjawab dan nilai komersial, Nadhir Nasar menyifatkan langkah pertama di layar perak itu ibarat serampang dua mata.

Dalam memberi hiburan kaki wayang, naskhah berkisar perjuangan Tok Gajah bersama anak tempatan menentang kemaraan penjajah menjadi medan untuknya berkongsi kisah di sebalik sejarah.

Tidak hairan apabila dia dilihat bersungguh-sungguh mendalami karakter Tahir biarpun penampilan watak tersebut sekadar fiksyen.

“Saya menerima naskah filem itu pada September 2022 dan cuba menghadam watak serta perwatakan adik kepada panglima Awang lakonan Fattah Amin supaya mampu menjiwai karakter itu.

Sudah semestinya mencabar kerana Tahir digambarkan keras hati, namun sarat semangat patriotisme yang bersemarak dalam era terbabit.

“Saya teruja kerana dalam menawarkan hiburan, Studio Kembara selaku penerbit menyuntik semangat rakyat Malaysia menerusi pengisian kisah sebegini terutama generasi muda yang boleh mendapatkan gambaran situasi lampau,” kata Nadhir, 28.

Ulasnya, watak Tahir umpama ‘saintis’ muda pada era itu banyak mengajarnya bagaimana untuk melawan penjajah yang bukan hanya menggunakan tenaga fizikal sebaliknya, kepintaran.

Watak Tahir lain, kerana dia percaya ilmu sains boleh menewaskan pihak lawan kerana dia turut digambarkan pandai membuat bom sebagai senjata tambahan.

“Kekuatan fizikal saja tidak mencukupi tanpa semangat cintakan tanah tumpah darah selain penyatuan seluruh masyarakat dalam mempertahankan tanah tumpah darah.

“Pengisian cerita filem ini yang istimewa juga mencetuskan rasa teruja dan lebih bersemangat mencabar diri membawakan watak lain,” tambahnya yang mendalami silat dan cara penggunaan badik  demi merealisasikan watak Tahir.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok