DUNIA K-pop dan K-drama tidak pernah kering kisah sensasi, baik pencapaian mahupun kontroversi yang berlaku sepanjang 2023.
Selain drama, industri seni juga tidak pernah sepi dari menerima ‘orang baharu’ yang merancakkan lagi arena hiburan.
Meski bakat pelapis yang turut diberi jolokan ‘rookie’ itu masih setahun jagung, ada juga antara mereka yang mampu memanaskan nama ke peringkat global.
Meneruskan pengisian, Daebak hari ini membawakan beberapa kumpulan K-pop baharu yang sudah terkenal di peringkat dunia sehingga membiakkan kelompok peminat tegar.
NewJeans
SIAPA yang tidak kenal dengan kumpulan NewJeans yang tiba-tiba meledak dalam industri muzik Korea Selatan.
Kebanyakan single yang dilancarkan kumpulan dianggotai Minji, Hanni, Danielle, Haerin dan Hyein itu mudah sahaja tular dalam media sosial.
Judul seperti Hype Boy, Ditto, OMG dan Super Shy bergilir-gilir menjadi siulan di peringkat global.
Selain terlibat banyak kempen jenama hebat, NewJeans turut menang banyak anugerah antaranya, Anugerah Artis Asia, Anugerah Muzik Melon dan Mnet Asian Music Awards.
Ive
HADIR dengan enam orang ahli, kumpulan Ive sudah menunjukkan taring walaupun baru dua tahun berada dalam industri.
Kumpulan wanita itu melakar sejarah pertama apabila berjaya melakukan ‘Perfect All-Kills’ (mendapat tempat pertama berturut-turut) dalam iChart dengan tiga karya pada tahun yang sama iaitu menerusi lagu Baddie, Kitsch dan I Am.
Hasil dua tahun pengalaman dalam industri muzik, mereka menjayakan konsert jelajah The Prom Queens di Seoul, Yokohama, Kobe, Manila, Taipei, Singapura dan Bangkok. Mereka turut dijemput mengisi festival, acara anugerah di luar negara.
Le Sserafim
LE SSERAFIMSELEPAS dilanda pelbagai kontroversi terutama melibatkan ahlinya, Kim Ga-ram, Le Sserafim menyifatkan 2023 sebagai tahun kebangkitan mereka.
Le Sserafim terus cemerlang dengan mengeluarkan beberapa karya hits seperti Antifragile, Impurities, Fearless, Unforgiven, Eve, Psyche & The Bluebeard’s Wife dan Perfect Night.
Mereka juga berjaya menjadikan tarian sebagai trend dalam media sosial yang menjadi ikutan ramai.
Meskipun baru memulakan karier di
dua tahun lalu, mereka sudah meraih anugerah sebagai Rookie Of The Year semasa Anugerah Muzik Seoul 2023.
Aespa
DITUBUHKAN pada 2020, kumpulan Aespa sudah mampu memperkenalkan jenama mereka sehingga ke peringkat antarabangsa dengan begitu drastik.
Biarpun baru sahaja melebarkan sayap, mereka bijak menarik perhatian peminat apabila berjaya meraih jumlah penonton tertinggi video muzik single pertama iaitu Black Mamba bagi kumpulan debut K-pop dalam tempoh 24 jam selepas dilancarkan. Tidak sampai sedekad dalam industri, Aespa bersama empat ahli, Winter, Ningning, Karina dan Giselle menjayakan jelajah dunia pertama pada September tahun lalu di beberapa buah negara.
Lagu-lagu mereka juga kerap memasuki carta lagu Korea Selatan dan pernah membolosi carta Billboard 200.