Haidar Hasanudin mahu jadi lelaki lembut

SELEPAS dua tahun beralih bidang dari kru belakang tabir kepada pemain depan kamera, pelakon Haidar Hasanudin menyimpan impian besar untuk diraih sepanjang tahun ini.

Tahun 2023 yang baru sahaja melabuhkan tirai dianggap sebagai tahun rezeki apabila kelibatnya tidak putus-putus menghiasi layar televisyen menerusi naskhah drama memerankan watak sampingan atau utama.

Enggan menoleh ke belakang, justeru, Haidar, 34, berharap 2024 menjadi tahun yang lebih baik dan membuka peluang lebih besar kepadanya.

Dia mahu kelainan dalam hidupnya, terutama membabitkan karier lakonan.

“Antara yang saya impikan terbabit dalam naskhah filem yang boleh meninggalkan kesan kepada penonton.

“Tahun lalu (2023), saya belum berpeluang terbabit dalam naskhah layar lebar. Untuk tahun ini, saya berharap dapat diberi peluang untuk terlibat sekurang-kurangnya dalam sebuah sebuah filem. Itu pun sudah memadai,” ujarnya.

Kata anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, dia juga menyimpan keinginan mengisi naskhah yang memberi kepuasan bukan sahaja pada diri sendiri, bahkan penonton.

“Misalnya tahun lalu, saya terbabit dalam telefilem Angan. Watak saya dalam cerita itu telah meninggalkan kesan terhadap penonton.

“Jadi, untuk tahun ini saya mahu mencipta lagi kejayaan seperti itu, malah lebih lagi. Kalau boleh, saya mahu terbabit dalam filem bergenre aksi ketenteraan.

“Bapa saya seorang bekas tentera. Sejak kecil saya melihat foto-fotonya memakai seragam tentera. Jadi teringin juga untuk sarung uniform,” jelasnya.

Melebarkan bakat, Haidar juga bercita-cita mempelbagaikan karakternya lakonan dan mahu dilihat sebagai pelakon versatil.

Versatil 

HAIDAR

Untuk membuktikan bakat lakonan, Haidar tidak bersedia melakonkan watak berbeza, misalnya memegang karakter lelaki lembut.

“Tahun 2024 juga saya mahu buktikan diri ini sebagai pelakon versatil yang boleh melakonkan apa sahaja watak. 

“Selain watak tentera, saya juga mahu mencabar diri untuk membawakan watak berbeza.

“Sebagai contoh, watak sebagai lelaki lembut. Sekurang-kurangnya watak sebegitu bukanlah watak klise seperti yang sering saya bawakan,” jelasnya.

Menyimpan impian untuk terbang lebih tinggi, Haidar turut memasang harapan untuk menembusi pasaran Indonesia.

Sedar pengalamannya dalam bidang lakonan belum cukup berpengaruh, Haidar berasakan tidak salah menyimpan cita-cita sebegitu.

“Saya sedar pengalaman saya dalam bidang lakonan masih lagi kurang. Tapi tidak salah jika saya mengimpikan untuk menembusi pasaran negara seberang (Indonesia) suatu hari nanti.

“Sekurang-kurangnya saya mahu merasai pengalaman bekerja dengan produksi luar. Tidak salah bermimpi,” jelasnya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok