SAYA maafkan individu yang menyebarkan fitnah itu.”
Demikian kata pelakon dan penyanyi Erra Fazira sekali gus menafikan dakwaan ada gambar perkahwinan tergantung di dinding kediamannya yang hangat diperkatakan sebelum ini.
Ujar pemilik nama penuh Fazira Wan Chek itu, dia enggan ambil pusing tohmahan itu sebaliknya memaafkan individu yang menyebarkan fitnah itu.
“Itu semestinya satu fitnah dan saya terkejut gambar apakah itu. Saya memaafkan orang fitnah itu.
Saya tahu diri saya dan apabila mendengar fitnah itu saya ketawa sahaja.
“Saya dah minta hentikan dakwaan sebegitu sejak dari dulu lagi, tapi tetap berulang,” katanya kepada HibGlam.
Sebagai pencerahan, primadona berusia 50 tahun itu menegaskan dirinya masih berstatus ibu tunggal dan hatinya belum dimiliki sesiapa.
Saya masih ibu tunggal, malah sudah bertahun-tahun tapi saya tidak pernah menutup pintu hati, cuma sekarang mungkin belum lagi.
Saya pun tak tahu apa motif orang yang mahu gosip perkara sedemikian, mungkin ada hikmahnya. Ada pro dan kontra iaitu kebaikannya orang masih berminat nak tahu tentang kisah peribadi kita.
Kadang-kadang bila kita dah sampai pada usia sebegini, kita tak terfikir dah soal-soal begitu (kahwin). Saya bahagia dengan kehidupan saya yang sekarang.
“Bagi saya kebahagian bukan bergantung dengan manusia,” katanya ketika ditemui pada sidang media tayangan drama Rampas Cintaku 2, petang tadi.
Terdahulu, tular dakwaan foto perkahwinan Era dengan seorang kenamaan tergantung di dinding rumahnya.
Perkara itu dikatakan dicetuskan seorang selebriti yang berkunjung ke kediaman bintang jelita itu.
Sebagai rekod, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah dan penyanyi, Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2023 namun bercerai pada 16 Jun 2006.
Dia kemudian mendirikan rumah tangga sekali lagi dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007, namun mereka berpisah pada 18 Februari 2014.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 15 tahun. – HIBGLAM