PELAKON Syanie mengakui pernah menangis di hadapan popia basah gara-gara tidak dapat menjamah makanan kegemarannya itu selepas melakukan pembedahan pintasan gastrik (gastric bypass) 15 tahun lalu.
Menurut Syanie atau nama sebenarnya, Syaniza Hisham, 50, adegan sedih itu berlaku tidak sampai enam bulan selepas dia melakukan pembedahan tersebut.
Saya masih ingat masa itu teringin sangat makan popia basah, kakak saya belikan, tetapi saya tidak boleh makan dan muntah. Saya menangis pandang popia basah, sudahlah makanan kegemaran.
“Alhamdulillah, selepas 15 tahun saya boleh makan apa sahaja tetapi masih dalam kuantiti sedikit. Cuma, saya mengelak daripada minum susu dan makan makanan mengandungi produk tenusu kerana saya akan terus ke tandas,” kata Syanie sambil tertawa.
Syanie yang kini memiliki berat badan 150 kilogram (kg) bersyukur masih diberikan kesihatan yang baik dan mampu mencari rezeki seperti biasa.
Namun, pelakon filem Laila Isabella itu bagaimanapun bimbang melihat trend terkini ramai selebriti melakukan ‘pembedahan perut’ meskipun badan mereka tidak begitu besar.
“Semasa saya dinasihatkan untuk melakukan pembedahan pintasan gastrik berat badan saya mencecah 220 kg. Jantung saya bekerja seolah-olah saya berusia 70 tahun.
Jika saya tidak buat pembedahan doktor anggarkan saya hidup selama setahun atau dua tahun sahaja. Saya tiada pilihan terpaksa buat pembedahan untuk sihat.
“Tetapi sekarang ramai orang buat untuk kurus dan cantik. Harus diingat bedah perut ini bukan untuk suka-suka. Selain kos yang tinggi banyak nikmat yang akan hilang, jadi fikir dahulu sebelum melakukannya,” tutur Syanie.
Jelas Syanie, selain imun badan yang lemah, kesan lain adalah tidak boleh menikmati makanan seperti biasa selain risiko berat badan naik semula.
Oleh itu, Syanie menasihati mereka yang ingin kurus dan cantik dengan melakukan pembedahan agar berfikir panjang terlebih dahulu.
Jangan ingat lepas bedah perut kurus selamanya, seperti saya badan naik semula selepas melakukan pembedahan buang rahim empat tahun lalu dan perlu makan pil hormon.
“Bimbang berat badan terus naik, saya berhenti makan pil hormon. Ada juga rakan seangkatan saya yang langsung tidak boleh menjamah nasi sehingga sekarang selepas bedah perut, sekarang dia terlalu kurus pula,” kongsi Syanie.
Syanie ditemui ketika menjayakan program Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) bagi membantu artis dan anak-anak yatim di Kafe Fusion 21, di Subang Jaya di sini baru-baru ini.
Perkembangan lain, Syanie yang mula berhijab sejak mendirikan rumah tangga kali ketiga bersama Zahril Hafiz Mohammed Nor pada 19 Februari 2021 berkata, tawaran berlakon semakin berkurangan sejak berhijab.
“Sejak berhijab setahun hanya satu atau dua tawaran lakonan yang diterima. Kali terakhir berlakon adalah pada Ramadan lalu untuk siri Budak Flat yang kini sedang ditayangkan di platform penstriman Amazon Prime,” ujar Syanie.
Sungguhpun begitu, Syanie tidak berkecil hati kerana selepas 30 tahun berada dalam industri seni dia amat memahami kehendak pasaran semasa.
“Saya faham permintaan stesen televisyen yang mahukan orang baru. Saya okey sahaja. Jika ada rezeki dan tawaran saya terima. Jika tiada saya mencari rezeki dengan berniaga pizza dalam talian dan di bazar,” kata Syanie. – HIBGLAM