Fauziah Sarman kongsi kerinduan pada anak-anak

TERIMA kasih anak-anak mak.”

Demikian coretan ringkas penuh bermakna yang dikongsikan ibu kepada penyanyi Shila Amzah dan Syada Amzah iaitu Fauziah Sarman dalam Instagram miliknya.

Dalam hantaran tersebut, Fauziah turut berkongsi video pendek menggunakan muzik latar lagu Sayang Sampai Mati, dendangan kumpulan terkenal Indonesia, Repvblik memaparkan dirinya bersama keempat-empat orang anaknya termasuk cucu, sebagai tanda sayang dan rindu terhadap mereka.

Lebih meruntun jiwa apabila wanita berusia 56 tahun itu turut berkongsi momen bersama anak-anaknya semasa kecil sehingga dewasa sekali gus mengimbau kenangan indah mereka bersama.

Menerusi salah satu gambar yang dikongsikan, kelihatan bekas isteri kepada penyanyi veteran, Datuk ND Lala itu bergambar dengan kesemua anak-anaknya termasuk cucu ketika meraikan sambutan hari jadi.

Dalam gambar tersebut, masing-masing kelihatan gembira dan bahagian apabila dapat berkumpul bersama-sama keluarga walaupun tanpa kehadiran bapa mereka.

Pada ruangan kapsyen, Fauziah turut menyatakan beberapa kata tanda pagar antaranya #anak #sayang #rindu #kasihibu #sampaisyurga serta #syukur, sekali gus memberi jawapan bahawa dia sangat merindui dan menyayangi anak-anaknya tanpa membeza-bezakan mereka.

Menjengah ruangan komen, ramai pengikut mendoakan agar Fauziah disatukan semula dengan anak-anaknya dan menjalani kehidupan bahagia bersama mereka selepas konflik yang melanda keluarganya.

Bahkan, terdapat pengguna Instagram tidak dapat menahan air mata kerana berasa sebak apabila memikirkan dugaan yang berlaku dalam kehidupan keluarga itu.

Saya menangis. Air yang dicincang tidak akan putus. Saya tahu mama (panggilan Fauziah) anak-anak semua. Biar masa yang menentukan. Bahagia itu milik kalian semua,” ujar seorang pengguna Instagram.

“Sedihnya. Semoga Allah tambahkan kasih sayang di antara mereka sekeluarga. Rindu seorang ibu pada anak-anaknya,” kata seorang lagi netizen.

Semoga semuanya bersatu kembali,” kata seorang pengikutnya.

Sementara itu, dalam InstaStory, Fauziah sempat memuat naik sekeping foto dirinya dengan kapsyen memanjatkan kesyukuran apabila memaafkan seseorang.

Dengan memahami, kita akan dapat memaafkan. Alhamdulillah,” katanya.

Terdahulu, hubungan Fauziah dengan anak sulungnya iaitu penyanyi, Shila Amzah menjadi keruh selepas wanita itu berkecil hati apabila mendakwa Shila, 34, mendedahkan hal ‘dalam kain’ keluarganya kepada umum.

Semuanya berpunca daripada isu penjualan sebuah rumah banglo di Hulu Langat, Selangor yang sebelum ini didiami Fauziah bersama anak-anaknya.

Wanita terbabit turut menepis kenyataan kononnya dia memeras keringat dan menggunakan hasil titik peluh penyanyi Patah Seribu itu demi menanggung seisi keluarga.

Rentetan daripada konflik tersebut, Fauziah memberitahu sudah tidak kenal lagi siapa Shila Amzah, sehingga menjarakkan lagi jurang hubungan antara mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok