SEMATA-MATA untuk mendapatkan bentuk tubuh yang kurus, usahawan sensasi, Iqbal Zulkefli memberitahu sudah tiga hari dia tidak menjamah apa-apa makanan, walaupun cuma sekeping roti.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Iqbal, 29, memberitahu terpaksa kuat dan sabar dengan menahan lapar selama sembilan hari tanpa makan, selepas mengikuti program menguruskan badan di sebuah hospital.
Saya baru selesai proses kurus bersama doktor di hospital. Ini hari ketiga saya langsung tidak menyentuh makanan walau sekeping roti,” ujarnya.
Selain makan, Iqbal juga terpaksa menahan dahaga apabila tidak dibenarkan untuk minum melebihi segelas air sehari.
“Air pun tidak boleh lebih segelas sepanjang tiga hari ini. Apabila stabil, ada tenaga saya akan kongsikan dari awal prosesnya,” ujar Iqbal.
Dalam hantaran berbeza, Iqbal yang juga penyanyi dan pelakon itu mengakui terpaksa kuat dan sabar menahan lapar selama sembilan hari selepas mengikuti program untuk menguruskan badan.
Saya perlu banyak sabar, pertama tahan lapar selama sembilan hari. Langsung tidak boleh sentuh makanan.
“Setiap 10 minit sekali, saya perlu minum air sedikit-sedikit sahaja,” jelasnya yang kerap mengalami muntah-muntah selepas menyertai program tersebut.
Tambah pelantun lagu Hujan itu lagi, selain sabar untuk menahan lapar, dia juga perlu sabar untuk memberi kefahaman terhadap orang-orang disekeliling yang bertubi-tubi menghubunginya.
“Sabar yang kedua adalah cuba untuk memberi kefahaman kepada orang yang menghubungi saya bertubi-tubi, meskipun mereka tahu saya dalam keadaan begini,” tulisnya.
Sebelum ini, Iqbal yang mengalami kenaikan berat badan mendadak, pernah menyuarakan hasrat untuk kurus dengan melakukan pembedahan bariatrik (potong usus), namun tidak digalakkan oleh doktor untuk dia berbuat demikian. – HIBGLAM