ISU ‘bodyshaming’ atau perbuatan mengejek fizikal seseorang bukan perkara asing dalam industri K-pop yang mementingkan kesempurnaan dari hujung rambut sampai hujung kaki.
Komen menyakitkan mampu mencetuskan trauma dan igauan ngeri sehingga menjejaskan kesihatan mental mangsa.
Antara yang tidak terlepas, termasuk pelakon Kim Min-ju yang dikecam ‘berisi’ semasa sesi perjumpaan peminat pada 13 Januari lalu.
Bagaimanapun, rata-rata peminat mempertahankan aktres berusia 23 tahun itu yang dikatakan masih mempunyai bentuk badan menarik.
Sebenarnya ramai selebriti K-pop berdepan isu sama dan mengalami depresi akibat tekanan sekeliling.
Ailee
BUKAN hanya gemuk, terlalu kurus juga boleh membuatkan netizen tidak senang duduk melihat penampilan artis pujaan mereka dan itu yang berlaku kepada penyanyi Ailee.
Ailee mengakui tertekan demi memenuhi kehendak peminat yang tidak berhenti menyibuk tentang bentuk badannya.
Penyanyi kelahiran Amerika Syarikat itu berdepan depresi kronik sehingga ubat-ubatan yang diambil menjejaskan kualiti vokalnya.
Yoona SNSD
SIAPA sangka, si cantik manis Yoona pernah dimalukan gara-gara terlalu kurus.Disebabkan bentuk badan yang terlalu kecil, penyanyi itu didakwa menderita penyakit anoreksia.
Lebih teruk, ada yang melabelnya sebagai nenek kerana fizikal yang disifatkan seperti perempuan tua.
Pada 2022, anggota kumpulan SNSD itu meluahkan hasrat untuk menambah berat badan sebelum terlibat dalam penggambaran drama King The Land.
Semua itu demi mengubah pandangan skeptikal masyarakat dan akhirnya dia berjaya menambah berat badan menjadi lebih menawan.
Jihyo Twice
SEMASA menjalani penggambaran rancangan realiti televisyen, Sixteen, penyanyi Jihyo menerima kritikan mengenai saiz badannya.
Lebih teruk, perkara tersebut dilemparkan jurukamera yang mengendalikan rancangan tersebut.
Selepas kejadian, anggota kumpulan Twice itu cuba bersembunyi di belakang ahli lain kerana malu.
Namun, jurugambar berkenaan menjerit ke arahnya kerana bergerak keluar dari pandangan kamera.
Kyla
PADA 2018, penyanyi Kyla yang baru berusia 15 tahun ketika itu sudah berdepan kritikan hebat netizen yang mengatakan dirinya terlalu montel.
Ada satu ketika semasa melakukan persembahan, penonton hanya berdiam seolah-olah sengaja menunjukkan memboikot terhadap penyanyi itu.
Ketika acara perjumpaan peminat bersama kumpulannya, Pristin, jurugambar seolah-olah mengelak daripada merakam kelibatnya.
Disebabkan kerap menjadi bahan kritikan, Kyla membuat keputusan keluar daripada kumpulan Pristin dan membawa haluan sendiri. – HIBGLAM