DILABEL memberi teladan buruk, penyanyi As’ad Motawh menafikan tuduhan segelintir pihak yang mendakwa dirinya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa menuntut ilmu di sekolah itu adalah satu perkara yang membuang masa.
Mengakui timbul salah faham, pemilik nama penuh As’ad Ahmad Muhammad Motawh itu berkata, kenyataan sebenar yang ingin disampaikan adalah bersifat peribadi dengan hanya berfokuskan dirinya yang tidak gemar pergi sekolah harian.
Saya tidak pernah berkata ‘awak tidak perlu pergi ke sekolah’. Ayat saya adalah ‘saya bukan seorang manusia yang suka ke sekolah dan saya anggap itu adalah membuang masa’.
“Kenapa saya rasa itu membuang masa? Kerana saya rasa saya ada rezeki untuk menjadi penyanyi dan ikut kaedah homeschooling (pembelajaran di rumah) .
“Kalau homeschooling saya hanya perlu ke sekolah biasa selama enam jam sehari, sebanyak dua kali seminggu.
“Dalam tempoh itu, saya belajar macam-macam ilmu sejak tingkatan 4 dan 5. Sebenarnya saya boleh berbuat demikian homeschooling sejak awal lagi, boleh jimat banyak masa,” ujarnya menerusi sebuah podcast atau audio siar.
Menganggap sekolah dari rumah lebih bermanfaat untuk dirinya, pelantun lagu Senyum itu berkata, andai diberi peluang untuk belajar secara homeschooling lebih awal, dia akan berbuat demikian.
Saya secara peribadi berasakan sejak darjah 1 hingga tingkatan 5, itu adalah satu tempoh yang sangat lama. Jadi sebenarnya boleh dipendekkan sebagai salah satu solusi.
“Memendekkan tempoh itu pula membuka peluang saya untuk meneroka perkara lain,” jelasnya lagi.
Terdahulu, ada pihak mendakwa As’ad memberi contoh tidak baik kepada generasi muda seolah-olah ingin memberitahu pergi ke sekolah hanya perkara membuang masa.
Menurutnya dalam kenyataan tersebut, apa yang dipelajari tiada kaitan dengan perkara dilakukan sekarang.
Susulan itu, penyanyi berusia 22 tahun itu dikecam teruk selain dilabel bodoh sombong dan belia tidak berkualiti oleh netizen. – HIBGLAM