PENYANYI Alfie Zumi terpaksa dimasukkan di wad sejak dua hari lalu selepas mengalami masalah jangkitan kuman pada paru-paru.
Perkara itu diberitahu sendiri oleh pengurusnya yang dikenali sebagai Ariel.
Alfie kena jangkitan pada paru-paru. Kini dia masih lagi dibawah pemantauan doktor,” katanya menerusi kiriman WhatsApp.
Ujarnya lagi, Alfie sebelum itu mengalami batuk berpanjangan selain demam sebelum mengalami rasa sakit dada dan di bawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Dia batuk dan demam yang berpanjangan sebelum mengalami sakit dada. Hasil pemeriksaan doktor mendapati dia terkena jangkitan kuman pada paru-paru,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi beberapa perkongsian yang dimuat naik Alfie dalam InstaStory miliknya, penyanyi yang popular menerusi lagu Sudah Di Tentu itu memohon maaf kerana tidak dapat membalas kiriman mesej yang diberikan kepadanya dalam Instagram (DM).
Bagaimanapun, Alfie, 30, mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhannya.
Maaf saya tidak dapat membalas kiriman mesej anda semua. Apa pun, terima kasih kerana mendoakan saya.
“Saya janji akan kembali semula dan kuat,” ujarnya.
Difahamkan beberapa hari lalu, Alfie sempat melancarkan single terbaharunya bersama penyanyi, Sarah Suhairi berjudul Sah yang kini sedang sohor kini dalam YouTube. – HIBGLAM