Aksesori mewah ukuran glamor bintang K-pop

PERHIASAN yang melibatkan barang kemas mewah antara aksesori wajib sebagai pelengkap gaya buat seseorang selebriti, terutama saat hadir ke acara-acara istimewa.

Ada juga dalam kalangan artis terpilih untuk menjadi duta sesebuah jenama terkenal untuk mempromosikan produk terbabit.

Hakikatnya, dipilih sebagai duta barang kemas keluaran pereka terkenal umpama petunjuk status buat seseorang selebriti.

Kali ini, Daebak membawakan senarai artis K-pop yang menjadi wajah mahupun duta aksesori mewah idaman ramai.

Joy

PADA 2020, ahli kumpulan Red Velvet iaitu Joy muncul di pentas konsert 26th Dream Concert sambil mempamerkan barangan kemas mewah jenama Tasaki dari Jepun.

Joy turut menggayakan gaun hitam berserta rantai yang bernilai AS$375,000 (RM1.7 juta)

Penyanyi berusia 28 tahun itu menyempurnakan penampilannya bersama anting-anting jenama sama berharga AS$53,000 (RM249,000).

Lisa

PENYANYI Lisa turut menjadi pilihan jenama mewah termasuk diminta menggayakan rantai Bvlgari semasa pertunjukkan koleksi Bvlgari Mediterranea High Jewelry di Venice, Itali.

Selain penyanyi kumpulan Blackpink itu, kelihatan selebriti antarabangsa lain yang turut serta dalam acara tersebut seperti Zendaya dan Anne Hathaway.

Masing-masing menggayakan aksesori berbeza tetapi fokus utama diberikan kepada Lisa yang menggayakan rantai leher, anting-anting, gelang tangan dan cincin bertatahkan zamrud berwarna hijau.

Tidak hairan melihat penyanyi kelahiran Thailand itu menggayakan pelbagai jenis barangan Bvlgari kerana dia merupakan duta jenama mewah terbabit sejak tahun 2020.

Karina

BUKAN sahaja memukau mata tetamu Festival Filem Cannes ke-76 di Paris, penyanyi Karina membuatkan seluruh dunia terpana dengan kecantikannya.

Lebih menyerlah apabila di leher penyanyi kumpulan Aespa itu terhias indah rantai Chopard berharga AS$1.2 juta bersamaan RM5.5 juta.

Jelasnya, perhiasan tersebut merupakan koleksi permaidani merah Chopard yang diserikan dengan batu rubellite berbentuk pir seberat 123.34 karat (24.66 gram).

Rantai tersebut juga diperindahkan dengan 65.24 karat (13.04 gram) berlian.

Dilaporkan, rantai Chopard yang sama telah digayakan penyanyi antarabangsa, Rihanna pada 2014.

Penggayaan Chopard di leher Karina mengatasi rekod barang kemas tajaan termahal yang sebelum ini dipegang penyanyi kumpulan Red Velvet iaitu Joy.

Jisoo

PENYANYI Jisoo tidak pernah hadir ‘kosong’ dalam mana-mana majlis hiburan dan fesyen dunia. Terbaharu, dia dilihat mengenakan aksesori jenama mewah Cartier berupa rantai permata bernilai AS$ 1 juta (RM5 juta).

Perhiasan dinamakan Rayuela bertatahkan zamrud Colombia berbentuk pentagon seberat 6.84 karat (1.36 gram) tersebut tampak menyerlahkan lagi gaya penyanyi kumpulan Blackpink itu.

Bukan hanya rantai, pemilik nama lengkap Kim Ji-soo, 29, turut memadankannya dengan anting-anting Rayuela bernilai AS$275,000 (RM1.2 juta).

Ini bukan kali pertama Jisoo menggayakan barangan Cartier apabila dia pernah menjadi duta kepada produk terbaharu jenama sama, Panthere De Cartier yang mengandungi 18 karat (3.6 gram) emas putih. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok