SEIRING peralihan ke tahun baharu, pertambahan bakat pelapis dalam arena hiburan Malaysia juga tidak kurang meriah dengan kehadiran penggiat seni muda.
Masing-masing mahu memperjuangkan bakat yang ada selain memeriahkan kehangatan kehangatan industri tanah air.
Syarikat rakaman juga dilihat aktif mencungkil bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai barisan penyanyi pelapis.
Seperti syarikat pengurusan dan rakaman lain, Leo Music Empire ligat menggali keupayaan enam bintang baharu untuk dipamerkan dalam pasaran iaitu Ammar Anuaar, Arghpiez, Queen Zara, Azs Azfa, Wawa Wahida dan Kelana Akira.
Mengutamakan bakat nyanyian dan personaliti berbanding paras rupa yang menjadi syarat utama bergelar selebriti, pengarah Leo Music Empire, Nour Shue berkata, mereka juga menitikberatkan disiplin.
“Kalau dilihat sekarang, ramai penyanyi yang hanya mengutamakan rupa semata-mata tetapi pihak kami bukan begitu, yang penting adalah bakat. Cantik atau tampan hanya bonus. Selain itu, disiplin dan personaliti diri juga memainkan peranan penting.
Ada yang boleh menyanyi, ada rupa tetapi disiplin ke laut seperti tidak mahu dengar nasihat dan sudah berlagak diva sebelum berjaya.
“Kami mempunyai ramai penyanyi bagus tetapi tidak tahu ke mana ingin mengembangkan bakat ditambah pula dengan stigma tertentu, ruang dan peluang mereka kabur.Jadi, sebab itu saya berani ambil risiko,” katanya ketika majlis pelancaran single baharu enam artis Leo Music Empire.
Nour turut memaklumkan mengenai perancangan dan strategi khas untuk anak didik mereka selari dengan peredaran nuansa muzik global.
“Kami semestinya ada perancangan untuk lebarkan sayap mereka secara mainstream.
“Semua itu akan disusun berperingkat kerana tidak mahu terlalu terburu-buru. Biar lambat asal ada impaknya.
“Saya tidak mahu mereka digelar artis ‘mi segera’. Dikenali dengan satu lagu selepas itu menyepi dan terus hilang,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai cara pemilihan mereka, Nour berkata setiap penyanyi melalui proses uji bakat dan diasah sebelum dapat menghasilkan lagu.
Saya juga memberi kebebasan untuk mereka utarakan kehendak dan keinginan.
“Dari situ, kita akan sesuaikan mereka dengan pilihan lagu yang tepat,” tutupnya.
Setakat ini, seorang daripada artis mereka, Ammar Annuar telah melancarkan single pertama berjudul Sepi pada 17 November lalu.
Sementara Arghpiez yang menampilkan genre rap dan hip-hop pula tampil dengan buah tangan berjudul Setiap Malam pada 22 Disember lalu.
Queen Zara pula menerusi lagu berjudul Masihkah Ada Waktu Itu yang bakal menemui pendengar tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Azs Azfa yang juga guru muzik berani mengetengahkan genre jazz blues melalui single Yang Ku Perlu.
Wawa Wahida yang memiliki suara persis ratu rock negara iaitu Ella, bakal mengejutkan peminat dengan lagu Seperti yang akan dilancarkan pada Januari depan.
Seorang lagi taruhan syarikat rakaman berkenaan ialah Kelana Akira yang berasal dari Sarawak akan tampil dengan lagu Cerita. – HIBGLAM