SELEPAS lima bulan mendirikan rumah tangga, penyanyi Shila Amzah mengumumkan berita gembira apabila mendedahkan dirinya kini berbadan dua.
Menurut Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah, 34, dia mengambil masa untuk berkongsi berita gembira tersebut kerana ingin memastikan kandungan dan dirinya dalam keadaan yang stabil.
“Ada sebab kami baru beritahu sekarang. Kami nak kehamilan ini lancar. Doakan kandungan saya selamat dan dipermudahkan segala-galanya,” katanya dalam Instagram hari ini.
Shila bagaimanapun tidak berkongsi lanjut mengenai usia kandungannya.
Dalam perkongsian sama, isteri kepada pensohor media sosial, Ubai itu turut memuat naik video sedang melakukan ujian ultrasound pada kandungannya.
Sementara itu, suaminya Ubai berkata, berita kehamilan tersebut membuka lembaran baharu dalam hidupnya selepas melalui pelbagai kisah pahit manis tahun lalu. termasuk kehilangan dua insan tersayang iaitu arwah abang dan ibunya.
“Tahun 2023 meninggalkan peristiwa manis dan sedih yang banyak mengajar kami berdua seperti mengambil keputusan berkahwin.
“Selain itu, saya juga melalui kehilangan arwah adik sebelum majlis pertunangan kami, diikuti pula pemergian arwah mak beberapa hari sebelum majlis pernikahan.
“Selesai cerita kami pada tahun 2023 dan untuk tahun 2024 ini, kami ingin membukanya dengan satu perkhabaran (pengumuman kehamilan),” kongsinya.
Minggu lalu, Shila yang popular menerusi lagu Patah Seribu meminta orang ramai menghormati dirinya susulan terdapat segelintir netizen yang menegur perubahan bentuk fizikalnya selain didakwa sedang berbadan dua.
Terdahulu, dia mendirikan rumah tangga bersama Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli pada 5 Ogos tahun lalu.
Shila sebelum itu bercerai dengan bekas suami, Haris Idraki pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan bersama Haris, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Seth Uwais. – HIBGLAM
View this post on Instagram