Adik lelaki yang bertunang, bukan saya – Ara Johari

PENYANYI Ara Johari menafikan salah faham ramai bahawa dirinya sudah mengikat tali pertunangan dengan seorang lelaki.

Ara atau nama lengkapnya Nurfarrah Izzatie Johari, 27, ketika ditemui HibGlam berkata, foto yang dirakam dan di muat naik dalam InstaStory miliknya itu adalah semasa majlis pertunangan adik lelakinya iaitu Muhammad Qayyum Haziq, 22.

“Tidak (bertunang). Untuk mereka yang mengenali saya, sudah tentu tahu foto siapa yang yang saya kongsikan. Itu adalah adik ketiga saya.

“Dia langkah bendul sebab kakak dan abangnya masih belum berkahwin. Biarlah dia jalan dulu (bertunang). Saya tidaklah rasa janggal sebab sudah sampai jodoh adik sampai lebih awal,” katanya.

Ketika disoal tentang gilirannya untuk menamatkan zaman anak dara, Ara yang ditemui semasa sidang media Pesta Music Kuantan Dengan Ungu dan Artis Tanah Air di Hotel Times Square di sini, semalam berkata, buat masa ini dia belum lagi mempunyai sebarang perancangan untuk ke arah itu.

Malah, pelantun Bunga itu memohon peminat untuk mendoakan yang terbaik buat dirinya bersempena tahun 2024.

“Untuk yang bertanya bila saya akan bertunang, saya masih tiada perancangan lagi. Soal calon pula, doakan yang terbaik sahaja untuk tahun 2024 ini,” katanya.

Terdahulu, Ara membuatkan ramai tertanya-tanya apabila memuat naik hantaran dalam InstaStory sedang duduk di atas pelamin bersama seorang lelaki yang tidak diketahui identitinya.

Lebih menimbulkan tanda tanya apabila muka lelaki tersebut ditutup dengan bunga tangan, sekali gus mendakwa bahawa penyanyi itu telah melangsungkan majlis pertunangan secara rahsia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok