“Wang tunai RM10,000 untuk saya beli makanan tepi jalan.”
Itu respons usahawan sensasi, Kak KM yang dikecam netizen berhubung kejadian wang tunai RM10,000 hilang selepas bagasinya diumpil ketika dalam penerbangan dari Jakarta, Indonesia ke Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut pemilik nama sebenar Liana Rosli itu, dia selalu membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak bagi memudahkan urusannya membeli makanan yang dijual di pinggir jalan.
“Ada yang tanya saya kenapa bawa wang tunai banyak sangat. Saya memang orang yang suka bawa wang tunai.
Bila nampak sesuatu dijual di tepi jalan, memang kena pakai wang tunai. Mana ada penjual kacang atau buah tepi jalan pakai kad debit?
“Jadi, wang tunai RM10,000 itu untuk beli makanan di tepi jalan. Saya pun makan juga makanan yang dijual di kaki jalan,” katanya.
Pada masa sama, pempengaruh berusia 42 tahun itu turut menyelar netizen yang menuduhnya sengaja meletakkan wang tunai dalam bagasi kerana enggan mengisytiharkan (declare) jumlahnya kepada pihak berkuasa.
Jelas Kak KM, amaun RM10,000 bukanlah jumlah yang terlalu besar sehingga perlu diisytiharkan seperti yang diperkatakan netizen.
“Kau letaklah bawah tapak kaki pun, kalau wang tunai berlebihan tetap kena isytihar.
Orang yang cakap bukan-bukan ini sebenarnya tak pernah pun bawa wang tunai yang banyak. Jadi, jangan cakap perkara yang kamu tidak tahu. RM10,000 bukanlah amaun yang banyak sangat sehingga perlu diisytihar.
“Waktu ke Eropah, saya bawa RM100,000. Itu saya declare,” jelasnya.
Dalam pada itu, anak kepada dramatis Normah Damanhuri itu turut menyarankan kepada netizen yang mengecamnya, supaya tidak membuat laporan polis jika berlaku kejadian serupa ke atas diri mereka.
Ramai yang sokong saya supaya ambil tindakan. Kepada yang mengecam pula, kalau penyamun masuk rumah kau, jangan buat laporan polis.
“Sebab salah sendiri walaupun harta benda dah kena rembat dengan penyamun. Tak perlu nak kata apa yang berlaku terhadap saya ini disebabkan kifarah,” tegurnya.
Terdahulu, Kak KM meluahkan rasa kesal apabila mengalami kerugian lebih RM26,000 selepas bagasinya diumpil ketika dalam penerbangan dari Jakarta, Indonesia ke Kuala Lumpur.
Kejadian tersebut hanya disedari selepas tiba di rumah apabila mendapati wang tunai RM10,000 serta tiga beg baharu berharga RM16,000 yang diletakkan dalam bagasi hilang.
Akui Kak KM, awalnya dia enggan mendedahkan insiden itu kepada umum namun akhirnya membuka mulut untuk dijadikan pengajaran.
Malah, ibu kepada empat cahaya mata itu turut membuat laporan polis pada 29 November lalu kerana melibatkan jumlah kerugian yang besar. – HIBGLAM