TIGA kali bertemu aktor terkenal Thailand, Pon Nawasch kerana sama-sama menggalas tanggungjawab sebagai duta jenama ASICS, pelakon muda yang kian menempa nama, Hariz Hamdan mengakui dirinya cukup bertuah.
Terbaharu, mereka bergandingan dalam acara larian ASICS Meta: Time: Trials yang berlangsung di Cyberjaya, Selangor dengan menyempurnakan larian sejauh 10 kilometer bersama 3,000 peserta.
Saya pernah berjumpa dengan Pon sebelum ini di Vietnam dan Thailand. Ini adalah pertemuan kali ketiga, bagi saya dia seorang yang baik, rendah diri dan pelakon yang boleh dicontohi,” kata jejaka berusia 21 tahun itu.
Sementara itu, Pon yang berusia 27 tahun memuji kesungguhan Hariz dalam kerjaya dan berasa kagum dengan pencapaiannya meskipun baru tiga tahun bergelar pelakon.
Dia merupakan satu-satunya pelakon Malaysia yang saya kenali dan rapat. Bagi saya, pada usia yang agak muda pencapaiannya agak bagus. Dia juga sangat komited dengan apa yang dilakukan.
“Tidak mustahil jika dia mengekalkan disiplin sebegini, Hariz pasti akan menjadi nama besar pada masa depan,” tutur Pon yang popular dengan Praomook dan Devil In Law.
Menyentuh tentang karier lakonannya, Pon yang mula debut sebagai pelakon pada 2015 mendedahkan, sebelum menerima sebarang tawaran lakonan perkara utama yang dinilai adalah skrip.
Ini termasuklah karya-karya percintaan antara lelaki yang popular di Thailand dikenali dengan siri BL. Namun, sehingga ke hari ini Pon tidak pernah membintangi dalam karya sedemikian.
Saya terbuka dengan sebarang watak dan suka mencabar diri, tetapi saya melihat karya itu sendiri bukan watak semata-mata.
“Setakat hari ini belum pernah lagi saya berlakon dan menerima tawaran dalam drama siri BL (ketawa),” tutur Pon jujur.
Beralih kepada Hariz, demi memenuhi tuntutan watak dalam drama aksi terbaharu lakonannya berjudul Xchange terbitan Astro Original, dia komited membina tubuh agar tampak sasa.
“Jika sebelum ini orang asyik melihat saya bawa watak ‘Megah Holdings’, sudah tiba masa untuk saya mencuba watak berbeza.
Sekarang saya lebih banyak menerima tawaran watak yang sesuai dengan usia dan bergenre aksi. Disebabkan drama Xchange saya menjadi lebih ‘fit’ dan sihat.
“Masakan tidak, saya perlu bergandingan dengan Datuk Rosyam Nor dan drama itu memang memerlukan saya berbadan sasa,” tegas Hariz mengidam untuk membawa watak orang kelainan upaya (OKU) atau kaki pukul.
Hariz yang bakal muncul dengan filem Banglo Seksyen 12 pada Januari ini berkata, selain karier di Malaysia dia juga sudah bersedia menggembangkan sayap ke negara jiran seperti Indonesia.
Sejujurnya, siapa yang tidak mahu berlakon di luar negara jika ada peluang. Saya mahu ikut jejak langkah pelakon Miller Khan yang diterima baik peminat Indonesia.
“Tetapi saya sedar, perkara tersebut bukan mudah. Saya harus membuktikan kemampuan diri terlebih dahulu,” katanya.
Disoal adakah dia terbuka membawa sebarang watak demi mencipta nama di luar negara, sambil menggelengkan kepala, Hariz meluahkan prinsipnya.
“Saya lahir dan memulakan kerjaya di Malaysia. Sebelum membawa watak yang dirasa kontroversi atau boleh menyentuh sensitiviti masyarakat, saya akan tanya diri, adakah berbaloi?
Adakah keluarga dan peminat saya di Malaysia suka dengan apa yang saya lakukan? Andai ceritanya bagus tetapi saya perlu menggadaikan maruah, saya akan tolak secara baik.
“Banyak lagi cara baik untuk meningkatkan diri di pentas antarabangsa atau di luar negara. Jika tidak selesa memang saya tidak lakukan. Apapun, semua berbalik kepada prinsip,” ujarnya yang mula dikenali menerusi drama Andai Itu Takdirnya.