PENYAMPAI radio dan hos, Aishah Sinclair bersyukur kakak iparnya yang juga penyanyi popular, Bunga Citra Lestari atau BCL akhirnya bertemu jodoh dengan jejaka yang mampu menjaganya dengan baik.
Kata Aishah, dia sentiasa mendoakan agar penyanyi lagu Ingkar itu sentiasa memiliki kebahagiaan kembali selain dikurniakan lelaki yang menerima kewujudan keluarga Sinclair dalam hidup BCL.
Doa saya kepada BCL ialah berharap menemui cinta dan kebahagiaan semula.
“Namun harapan itu bukan sahaja menyayangi BCL dan menjadi ayah yang baik kepada Noah tetapi menerima kami iaitu keluarga Sinclair sebagai sebahagian daripada hidup BCL,” katanya dalam Instagram.
Ujarnya, kehadiran Tiko dalam keluarga BCL adalah satu perkara yang tepat selain berterima kasih kerana menyayangi keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair.
Tiko adalah orangnya. Sejak hari pertama kita bertemu, anda menunjukkan betapa hebatnya diri anda.
“Saya gembira dengan kehadiran anda dalam keluarga kami.
Terima kasih kerana bukan sahaja mencintai BCL dan Noah tetapi juga menyayangi kami iaitu keluarga Sinclair,” ujarnya.
Pada Sabtu lalu, BCL selamat dinikahkan oleh bapanya, Muchlis dengan Tiko Aryawardhana, 43, yang merupakan duda anak tiga.
Majlis tersebut diadakan secara tertutup di sebuah resort mewah di Bali, Indonesia dan hanya dihadiri keluarga terdekat dan teman rapat.
Tiko sebelum ini dilaporkan berpisah dengan bekas isteri pada 2021 dan dilaporkan isu pembayaran nafkah sepanjang perkahwinan menjadi punca rumah tangga mereka berantakan.
Terdahulu, BCL bernikah dengan pengacara dan aktor dari Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair pada 2008 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Noah Aidan Sinclair, 12.
Jodoh tidak panjang, Allahyarham Ashraf meninggal dunia pada Februari 2020 ketika tidur akibat serangan jantung. – HIBGLAM