Sweet Home 2: ‘Kiamat’ sebab kebodohan manusia

SELEPAS mencipta fenomena tersendiri tiga tahun lalu, drama bernuansa pasca-apokalips Sweet Home kembali dengan musim kedua yang diluncurkan menerusi Netflix pada 1 Disember lalu.

Menerusi lapan episod, Sweet Home membawa penonton menyelami kehidupan Cha Hyun-soo dan rakan-rakan yang masih ‘terhimpit’ dengan dunia manusia versus raksasa selepas keluar dari ‘penjara’ apartmen Green Home.

Mahu atau tidak, kehidupan perlu diteruskan. Itulah yang dilakukan Hyun-soo yang terpaksa membawa diri disebabkan keganjilan hidup sebagai entiti separa manusia, separa raksasa.

Lelaki itu juga kian menelan pahitnya realiti bahawa dia bukan manusia biasa sebaliknya mempunyai keupayaan luar biasa.

Musim kedua Sweet Home juga membawa peminat ke dasar lebih mendalam, mengapa wujudnya kelompok manusia dan raksasa, sedangkan dua golongan itu saling bermusuhan dan tidak mungkin co-exist atau wujud bersama dalam kehidupan.

Hyun-soo lakonan Song Kang berdepan kepayahan hidup menelan realiti dia adalah manusia ‘istimewa’ dengan kuasa luar biasa sebagai raksasa.

Jika dibandingkan dengan musim pertama, memang tidak dinafikan bahawa musim terbaharu ini sedikit longgar plot atau naratifnya.

Namun, semua itu langsung tidak membunuh intuisi atau rasa ingin tahu penonton tentang kesinambungan kisah apartmen Green Home.

Unsur suspens pula, memang sedikit ketinggalan berbanding musim pertama.

Musim sebelumnya, elemen tersebut sepertinya ada di mana-mana kerana Hyun-soo dan rakan-rakan bermain ‘tarik tali’ dengan adrenalin dan emosi audiens untuk meneruskan survival hidup masing-masing.

 

Mereka yang masih terselamat hidup dalam tertekan dan ketakutan.

Musim kedua masih dengan energi atau nilai sama, namun disuntik dengan elemen dramatik melewah sekali gus membantutkan rasa keseronokan peminat ketika menghabiskan tontonan.

Kendatipun, sama ada musim kedua menepati selera, itu semua terpulang kepada pendapat masing-masing.

Secara peribadi, dalam penceritaan, memang perlu ada momen untuk pengarah atau pencipta naratif menarik ‘break tangan’ dan membiarkan penonton merasai ‘gist’ cerita secara alami.

Kalaupun cerita bertema seram, aksi atau pasca-apokalips, tidak semestinya disumbatkan semua elemen yang disebutkan tersebut pada setiap masa.

Barangkali itulah strategi digunakan pengarah untuk musim kedua.

Eun-yoo lakonan Go Min-si merupakan antara karakter terpenting dalam Sweet Home musim kedua.

Dari segi terjemahan karakter, Song Kang sebagai Cha Hyun-soo masih man to watch.

Musim pertama, dia seperti menahan diri ke belakang sebagai manusia yang mempunyai kebolehan luar biasa. Untuk musim kedua, penonton disajikan dengan kematangan karakter bersifat heroik.

Eksplorasi naratif Sweet Home dikembangkan ke arah bagaimana raksasa ‘diwujudkan’ atas sifat haloba manusia sendiri.

Beberapa karakter utama lain seperti Yi-kyung (lakonan Lee Si-young) berdepan kesengsaraan hidup apabila anak dikandung bukan seperti diharapkan.

Antara watak baharu yang mencuri tumpuan dalam Sweet Home iaitu Chan-young yang merupakan seorang askar melindungi Guard Corps.

Ada banyak karakter baharu yang diperkenalkan, sedikit sebanyak memuatkan penonton terkeliru.

Ada juga karakter tidak semena-mena dimatikan, sekali gus membuatkan sebilangan peminat berasa sedikit kecewa.

Di sebalik semua persoalan tersebut, harus difahami Sweet Home adalah kisah fiksyen diadaptasi dari komik digital Naver webtoon. Mereka yang berstatus pengikut setia sepatutnya sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

Enggan membocorkan terlalu banyak spoiler di sini kerana status Sweet Home masih lagi fresh dalam Netflix, namun dengan peluncuran musim kedua membuatkan ramai semakin tidak sabar menanti musim ketiga yang dijangka dilancarkan tahun hadapan.

Dari skala markah per 10, Sweet Home musim kedua pada pengamatan peribadi penulis berangka 7/10.

Naskhah berkenaan masih menderaskan adrenalin dengan karakter yang sedikit kucar-kacir serta penceritaaan kadang-kala berakhir dengan cliffhanger (banyak persoalan). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok