TERJEBAK masuk carta sensasi, Azhar Sulaiman antara nama otai terhangat sepanjang 2023.
Bukan hanya dek kelantangan mengupas isu demi isu dalam laman sosial, takat didih kepanasannya berganda berikutan tumpuan ramai terhadap tingkah laku anaknya, Kasih Iris Leona.
Menurut bintang Abang 92 yang masih aktif berlakon itu, setiap isu yang diutarakan dalam laman sosial disuarakan atas kapasitinya sebagai pemerhati umum, termasuk membabitkan konflik berdarah di bumi Palestin.
“Kecaman tidak menghentikan saya daripada berkongsi pandangan, luahan, nasihat atau apa saja perkara yang dirasakan perlu dikongsi, apatah lagi setiap hantaran dalam media sosial saya bukan tin kosong.
“Macam isu Palestin-Israel tempoh hari, lagi ramai yang mengirim DM (mesej langsung) menyokong, sekali gus memperlihatkan mereka faham intipati pandangan saya,” katanya.
Bagi aktor berusia 52 tahun itu, pengalaman dalam industri seni dan sebagai arkitek, selain kecenderungan menelaah bahan bacaan, menyuntik pelbagai input sekali gus turut membantu setiap perkongsian ilmu sama ada berkaitan imej dan penampilan diri.
Cukup berhati-hati menyusun kata, bapa anak tiga itu mengakui puas menitipkan nasihat lebih-lebih lagi selepas puterinya (Leona) menyambung pengajian di luar negara.
Bukan membiarkan sahaja anak gadis yang baharu mencecah 21 tahun itu terleka, dia cuma sekadar menyedari Leona hanya mengikut darah muda, selain sengaja memancing orang mengikuti YouTube miliknya.
“Antara saya dan isteri, Chempaka Emalin, saya jarang marahkan anak tetapi mereka tahu sekali saya bersuara sudah pasti ada akibatnya.
“Dalam situasi kini, cabaran sebagai ibu bapa sangat besar. Kami pun enggan terbawa-bawa emosi, apatah lagi kalau tengok YouTube Leona, dia tidak pun bergaya pelik mahu pun seksi.
“Cuma saya ada tegur mengenai perubahan fizikalnya yang semakin berisi, sekali gus menampakkan dia lebih seksi jika memilih baju kurang sesuai.
“Selalu juga saya katakan pada mereka, bapa bagi ‘talk’ pada orang lain bernilai beribu ringgit, tapi anak diberi nasihat percuma pun tak mahu dengar,” luahnya.