SELAIN Tomok, awak juga salah seorang peserta yang saya nantikan setiap minggu.”
Demikian komen juri tetap Datuk Syafinaz Selamat kepada peserta All Stars Gegar Vaganza (GV10), Naqiu usai persembahan pertamanya pada konsert akhir.
Bagi Syafinaz atau lebih mesra disapa Tok Naz, kedua-dua penyanyi itu membawa kelainan pada persembahan setiap minggu.
“Anda berdua artis yang sangat kreatif, berani dan ada semangat juang.
“Awak pandai olah persembahan di atas pentas dan selalu menunjukkan nyanyian berbeza,” katanya semasa memberikan komen kepada penyanyi asal Johor itu.
Dalam masa sama, Syafinaz turut mempelawa Naqiu untuk menghubunginya bagi melakukan pemeriksaan kotak suara memandangkan penyanyi itu ada masalah parut pita suara (vocal cord) kekal.
“Saya faham awak sebagai penyanyo rock dan impak suara awak.
“Jadi, saya mahu awak jaga suara awak selepas ini.
Tolong hubungi saya selepas ini untuk saya bawa awak periksa kotak suara awak,” ujarnya lagi.
Pada pusingan pertama, Naqiu membawakan lagu Nur Nilam Sari nyanyian asal Awie dan Search.
Malam ini, seramai lapan finalis berentap pada pentas akhir GV10 iaitu Hady Mirza, Jaclyn Victor, Siti Nordiana, Nikki Palikat, Tomok, Azharina, Naqiu dan Liza Hanim.
Konsert GV10 yang dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil buat pertama kali.
Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – HIBGLAM