Pemurah, bintang K-Pop hargai pekerja

BARU-BARU ini, kecoh dalam media Korea Selatan pelakon Go Yoon-jung memberikan kejutan buat 100 kakitangannya dengan menghadiahkan barangan mewah.

Bukan sahaja staf syarikat, dia turut berbuat perkara sama kepada kru drama tvN, Wise Resident Life dengan mengedarkan jaket sejuk.

GO Yoon-jung menghadiahkan pekerjanya jaket sejuk.

Difahamkan, baju tersebut dari luar negara dan setiap satunya berharga lebih 350,000 won (RM1,256).

Perkongsian itu secara tidak langsung menunjukkan selebriti Korea Selatan menyantuni pekerja mereka sehingga meraih rasa hormat peminat.
Berikut adalah beberapa selebriti K-Pop yang sentiasa menghargai staf dan individu sekeliling mereka.

Chungha

PENYANYI Chungha memang terkenal dengan sikap dermawan terutama buat insan terdekat dengannya.

Sebagai idola, dia menjaga kesemua kru dengan hormat dan kasih sayang bahkan menghadiahkan mereka barangan mewah.

Setiap kali selesai persembahan, dia tidak terlepas bergambar dengan semua pekerja, penari dan pengurus sebagai tanda penghargaan terhadap kerja keras mereka.

Mina & Jihyo 

SEMASA menjalani penggambaran rancangan Time To Twice: Tdoong Forest, penyanyi Jihyo dan Mina melakukan perkara yang sangat menyenangkan hati semua kru.
Dua anggota kumpulan Twice itu membawa makanan ke set untuk dijamu kepada pasukan produksi termasuk jurukamera yang ditugaskan pada hari itu.
Mereka turut menyerahkan sendiri ubi keledek yang sudah disejukkan kepada semua jurukamera.
Ini kerana mereka ingin menghargai usaha keras kru belakang tabir  yang menghasilkan kerja terbaik.

Wonyoung

SEMASA mengunjungi stadium baru-baru ini, anggota kumpulan Ive, Wonyoung sangat prihatin terhadap pengurusnya.
Dengan spontan, dia bertanyakan lelaki itu sama ada sudah makan ataupun tidak kerana sibuk mengiringinya menghadiri pelbagai acara.
Ketika mendapat tahu pengurusnya belum makan, Wonyoung menghulurkan seketul ayam goreng buat pengurusnya bagi mengisi perut.
Ini menunjukkan kemuliaan hati Wonyoung yang sentiasa memikirkan kebajikan pekerja walaupun sibuk melunaskan tanggungjawab.

Blackpink

BIARPUN mencipta nama di pentas global, kumpulan Blackpink tidak pernah lupa jasa petugas yang berhempas-pulas membantu mereka.
Bagi membayar segala penat lelah dan dedikasi pekerja, Blackpink menyediakan penata gaya, penata rambut dan jurusolek untuk semua pekerja yang menelan belanja $3,000 won (RM14,000).
Malah, kumpulan wanita popular itu sanggup berhabis membelikan beg jenama mewah, Prada khas buat semua staff.
Kebaikan Blackpink membuatkan mereka sentiasa disayangi orang sekeliling yang setia bersama mereka sehingga kini.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok