PENGACARA juga pelakon popular, Zulin Aziz tampil mempertahankan segelintir golongan wanita yang dikecam hanya kerana tidak tahu menyiang ikan.
Perkara tersebut disuarakan Zulin atau nama penuhnya Farah Azleenda Abdul Aziz, 34, selepas rakaman video pengacara televisyen tidak tahu cara menyiang ikan dalam sebuah program siaran langsung baru-baru ini.
Baginya, perkara sebegitu tidak sepatutnya dijadikan isu besar sehingga mencetuskan kecaman netizen dalam media sosial.
“Tidak reti siang ikan pun kena kecam. Kalau pandai siang ikan tetapi malas masak pun tidak guna.
“Sekarang beli ikan semua siap siang. Tidak perlulah semua benda hendak dikecam,” katanya dalam InstStory hari ini.
Zulin yang juga bintang drama Penjara Janji itu mengakui tidak pandai menyiang ikan malah tidak tahu memotong sayur mengikut bentuk yang sepatutnya.
“Aku pun tidak reti (pandai) siang ikan dan memotong ayam.
“Memotong sayur pun adakalanya bentuk hati, segi tiga, petak, bujur dan semua ada ikut suka hati aku,” ujarnya.
Baru-baru ini, tular rakaman video memaparkan seorang pengacara sebuah program bual bicara, Wanita Hari Ini dikecam kerana tidak pandai menyiang ikan diberi tugasan tersebut ketika bersiaran langsung.
Rentetan daripada itu, ramai netizen terutama dalam kalangan kaum lelaki yang mempertikai perkara tersebut, selain membandingkan-bandingkan rutin di dapur tersebut sebagai satu bentuk sindiran buat wanita cantik dan berkerjaya. – HIBGLAM