DIBELENGGU kesedihan sejak beberapa hari lalu akibat kematian kucing kesayangan, pelakon, Rita Rudaini, 47, mengakui orang yang tidak memelihara kucing tidak akan memahami kesakitan dilaluinya.
Menurut Rita, dia tidak setuju andai ada pihak yang memperlehkan rasa sedih yang ditanggungnya memandangkan kucing yang dinamakan sebagai Pekan tersebut telah dianggap bagai keluarga sendiri.
“Orang yang tak ada kucing, tak bela kucing, tak akan rasa dan faham apa yang kita rasa. Ada yang kata ‘nak buat macam mana dah sampai ajal’ atau ‘alahai kucing saja pun takkan sedih sangat, bukannya manusia’.
“Tahu tak? Kata-kata itu boleh tambah sakit dan luka pada kami pencinta kucing? Kucing pun mahkluk bernyawa Allah sama seperti manusia bukan? Kenapa? Sama juga kan?
Allah bagi saya hati yang dapat berkongsi rasa, rezeki dengan mereka. Saya anggap mereka adalah ‘anak-anak’ saya,” katanya dalam satu perkongsian dalam Instagram.
Selain itu, kata pelakon drama Kerasnya Takdir ini, kehilangan Pekan amat sukar dilenyapkan dalam hati dan ingatannya dan sehingga kini masih menanggung kerinduan terhadap pemergian haiwan kesayangannya itu.
“Untuk saya pulih dari rindu pada yang telah tiada ini hanya Allah sahaja yang tahu. Saya memang sangat ‘down’, sedih dan sayu.
Setiap masa teringat. Iyalah. Banyak kenangan bersama mana mungkin boleh lupa. Merekalah teman susah senang saya. Mommy sangat rindu. Tak akan ada pengganti yang sama dengan kamu,” katanya.
Menerusi perkongsian terdahulu, Rita memaklumkan kucing baka British Shorthair (BSH) itu telah dibelanya sejak enam tahun lalu.
Bagaimanapun, beberapa hari lalu, menurut Rita, haiwan tersebut didapati telah mati secara tiba-tiba tanpa diketahui puncanya.
Dalam pada itu, Rita turut dihujani dengan kata-kata semangat dan ucapan takziah daripada pengikutnya yang juga merupakan golongan pencinta kucing. – HIBGLAM