BIARPUN baru Januari tahun lalu menjayakan konsert di Malaysia, kumpulan dari negara seberang, Ungu teruja untuk menghiburkan peminat tempatan sekali lagi.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu bakal direalisasikan di Mega Star Arena, pusat beli belah Sungei Wang pada 25 Februari tahun hadapan.
Lebih istimewa, kali ini mereka akan menyampaikan medley lagu popular dari Malaysia dan Indonesia sebagai hadiah untuk penonton.
Pada masa sama, vokalisnya, Pasha ingin merealisasikan hasrat berkongsi pentas dengan kumpulan Exists pada konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless.
Pemilihan Exists diluahkan kerana pemilik nama sebenar Sigit Purnomo Syamsuddin Said itu sangat meminati kumpulan terbabit sehingga teringin berjumpa mereka.
“Exists, saya suka lagunya kerana pada zaman saya, mereka sangat popular di Indonesia dan menjadi idola saya.
“Kalau Amy Search, tidak perlu cakaplah, dia juga cukup diminati dari dulu sampai sekarang, orang masih tahu, masih suka lagunya sama juga dengan Wings dan Slam.
“Tapi Exists ini saya suka lagunya namun belum pernah jumpa orangnya,” katanya kepada Kosmo! Online, di sini, semalam.
Ditanya mengenai artis Malaysia lain yang bakal menemaninya di pentas semasa konsert di Mega Star Arena, pusat beli belah Sungei Wang, Pasha terbuka untuk menerima cadangan peminat.
“Kalau tanya artis baharu, saya tidak kenal dan tidak ‘update’ (kemaskini).
“Tapi kalau peminat bagi cadangan nama artis baharu yang mereka mahu digandingkan bersama, saya okey.
“Sebolehnya biarlah penyanyi wanita sebab Ungu juga ada lagu seperti Terlanjur Cinta, Tercipta Untukku dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Khas buat peminat Malaysia
Sementara itu, Pasha turut memuji sambutan yang diberikan peminat Malaysia sehingga mereka teruja merealisasikan lagi konsert di negara ini.
“Ini adalah konsert yang ke sekian kali di Kuala Lumpur (KL), saya kira KL sudah tentu mempunyai kekuatan tersendiri dan memorinya yang luar biasa bagi Ungu sebab sepanjang kami melaksanakan konsert di KL, kami boleh cakap kami tidak pernah gagal.
“Bukan kerana Ungu hebat atau luar biasa tetapi masyarakat Malaysia menyambut Ungu dengan baik jadi setiap konsert kami berjalan lancar.
“Disebabkan itu menjadi cabaran besar buat Ungu kerana apa lagi yang boleh kami tambah dalam konsert kami untuk kalian? Kunci utamanya tetap peminat, saya harap kita semua boleh sama-sama menjayakan konsert ini,” jelas penyanyi yang juga ahli politik itu.
Mengulas lanjut, Ungu yang memiliki lapan album studio dengan yang sulung dirakamkan pada 2002 iaitu Laguku, beberapa album keagamaan yang cukup popular termasuk SurgaMu (2006) serta album runut bunyi, berjanji untuk tampil dengan persembahan menghiburkan pada konsertnya.
Selain Pasha, Ungu yang ditubuhkan pada 1996 di Jakarta ini turut dianggotai Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (Bass) dan Rowman (dram) untuk mengisi konsert dengan 1001 nostalgia serta kenangan baharu yang bakal dicipta.
Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my atau hubungi talian hotline 012-6530700 (WhatsApp) dengan harga RM138 (Seating 2), RM218 (Seating 1) dan RM338 (Standing).