M. Daud Kilau tunjuk petanda awal akan ‘pergi’

SEHARI sebelum meninggal dunia, Allahyarham Datuk M. Daud Kilau masih dalam keadaan sedarkan diri dan bercakap seperti biasa.

Menurut menantunya, Hassan Ahmad, 69, penyanyi yang terkenal dengan jolokan Raja Gelek Malaysia itu ada berkomunikasi dengan cucu pertamanya sambil memberi bayangan akan pergi buat selama-lamanya.

“Semalam, apabila anak cucu mahu pulang dari hospital dia masih okey dan bercakap seperti biasa.

“Kemudian dia ada sebut mahu ‘pergi’ dan cucunya bertanya mengapa berkata begitu.

“Apabila mereka semua balik, dia sudah tidak bercakap. Mungkin penat berpuasa sebab sudah seminggu tidak makan,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Berkongsi lanjut, Hassan memberitahu bapa mentuanya tidak makan selama beberapa hari atas nasihat doktor.

“Doktor tidak bagi dia makan kerana khuatir akan tersedak. Jadi, dia hanya minum air.

“Itupun dia perlu menggunakan tiub hanya untuk minum susu,” ujarnya lagi.

Hari ini, dunia hiburan dikejutkan dengan berita Raja Gelek Malaysia, M Daud Kilau meninggal dunia pada pukul 4.46 petang di Hospital Teluk Intan, Perak akibat pelbagai komplikasi penyakit.

Jenazah kini masih berada di Hospital Teluk Intan untuk urusan mandi jenazah sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Sungai Balai, Bagan Datuk.

Solat jenazah pula dijangka akan disempurnakan di Masjid Terapung Bagan Datuk.

Difahamkan daripada rakan terdekat yang juga bekas wartawan, Syed Mohd Yusof Wafa Syed Nordin, jenazah akan dikebumikan selepas solat zuhur esok. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok