KELIBAT anggota kumpulan Blackpink, Lisa sedang menikmati makan malam di sebuah restoran di negara kelahirannya, Bangkok, Thailand menjadi tumpuan peminat.
Menerusi foto yang tersebar dalam media sosial, Lisa dilihat sedang makan bersama anak perempuan pemilik jenama Samsung iaitu Lee Jae Yong.
Namun, apa lebih menarik perhatian adalah kemesraan dan keramahan pelantun lagu Money itu melayan peminat yang menyapanya.
Lisa juga tampil santai dengan hanya berseluar jeans dipadankan bersama kemeja-T berwarna merah jambu serta berselipar.
Ramai menganggap Lisa selebriti yang baik dan mudah didekati apabila tidak berada di Korea Selatan.
“Lisa sangat baik hati. Walaupun sudah menawan dunia, dia tidak perlukan puluhan pengawal peribadi untuk menjaganya setiap masa,” komen seorang peminat.
“Idola lain patut mencontohi Lisa, dia lebih daripada popular. Meski kariernya melangit, sikapnya kekal membumi,” kata komen seorang lagi peminat. – HIBGLAM