Keluarga tak kacau ‘periuk nasi’ bintang K-Pop

Di sebalik kesempurnaan hidup dilimpahi populariti dan kemewahan,  siapa sangka ada bintang K-Pop yang terpaksa menyimpan kemas kisah duka yang barangkali meninggalkan kesan mendalam dalam hidup mereka.

Kata orang, ibu bapa adalah insan yang paling boleh dipercayai, namun ada juga segelintir individu berasakan sebaliknya.

Kimchi Panas minggu ini menyenaraikan beberapa nama selebriti Korea Selatan yang pernah berdepan  konflik dalam keluarga, sekali gus meninggalkan impak terhadap personaliti mereka.

Yoona

Keluarga anggota kumpulan Girls Generations, Yoona  sememangnya berantakan sejak dia masih kecil. Ibu bapanya bahkan mengambil keputusan untuk bercerai ketika bintang K-pop itu baru berumur enam tahun.

Lebih teruk, ibunya meninggalkan dia dan kakaknya untuk tinggal bersama si ayah tanpa sebarang penjelasan mahupun alasan serta memilih untuk tidak kembali sehingga ke hari ini.

Dalam sebuah rancangan temu bual, Yoona mengakui langsung tidak memiliki memori tentang ibunya apatah lagi merindu insan melahirkannya itu. Kasih sayang Yoona hanya untuk bapa yang selalu  berada di sampingnya baik senang mahupun susah.

“Saya memang tidak pernah ada memori tentang ibu, jujurnya saya sudah tiada rasa itu, kasih dan sayang saya hanya untuk appa (ayah) yang sentiasa ada dengan saya sepanjang masa ketika gelap dan terang,” ujarnya sayu.

Sandara Park

Sentiasa kelihatan positif dan ceria, bekas anggota kumpulan 2NE1, Sandara Park ternyata menyimpan seribu duka apabila pernah mengalami pengalaman tidak menyenangkan gara-gara perbuatan tidak bermoral bapa sendiri.

Menurut penyanyi kecil molek itu menerusi satu rancangan temu bual,  bapanya menggunakan segala titik peluhnya untuk berjudi dan tidak langsung bertanggungjawab menafkahi keluarganya. 

Lebih teruk, bapanya pernah ditangkap dan dipenjara. Dia juga terpaksa mengeluarkan sejumlah wang jaminan dengan harapan bapanya akan berubah, namun keluar sahaja dari jeriji besi, perangai sang bapa tetap sama. 

Enggan terpalit lagi, Sandara memutuskan untuk menjauh dan tidak lagi mengambil tahu  mahupun mengikut campur berkaitan apa jua yang berlaku kepada bapanya.

Kim Soo-hyun

Soo-hyun merupakan anak kepada penyanyi veteran, Kim Choong-hoon yang cukup terkenal ketika era 1980-an. 

Namun, dia ditinggalkan sang ayah ketika masih kecil kerana dilaporkan sedang hangat bercinta dengan wanita lain.

Terkontang-kanting ditinggalkan berdua dengan ibunya demi wanita lain, Choong-hoon dikatakan tidak pernah mengambil tahu mahupun menanggung keperluan bekas isteri dan anak lelakinya.

Enggan melihat ibu hidup menderita, Soo-hyun berusaha keras menempatkan diri sehingga menjadi antara aktor paling berpengaruh.

Ketika mengecap kejayaan, bapanya tiba-tiba muncul dan meluahkan kerinduan buat Soo-hyun.

Ibarat sengaja menempah ‘maut’, Chong-hoon dikecam dan disifatkan  tidak sedar diri serta sengaja ingin menempel populariti anaknya.

“Dasar tak tahu malu, awak tidak layak dipanggil seorang ayah kerana tidak mempunyai hati perut, jijik!,” komen netizen.

Leeteuk

Tidak pernah menikmati kasih sayang seorang ayah, anggota kumpulan Super Junior, Leeteuk mengakui tidak mempunyai hubungan baik dengan mendiang ayahnya, Park Yong-in. 

Kata penyanyi berusia 40 tahun itu, ibu dan bapanya secara rasmi bercerai sejak 1998, namun si bapa sentiasa mengganggu ketenteraman hidup dia dan ibunya. 

Lebih tragis, bapa Leeteuk telah membunuh datuk dan neneknya sebelum akhirnya memilih untuk menggantung diri. 

Bapa Leeteuk meninggalkan banyak hutang dek kerana muflis. Impaknya, kehidupan Leeteuk dan ibunya sering diganggu pemungut hutang.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok