‘Jangan putarkan lagu cinta jika saya sudah meninggal dunia’

BEKAS vokalis kumpulan popular era 1980-an Medicine, Ijam berharap dendangan berunsur cinta sesama insan yang pernah disampaikan dulu tidak dimainkan apabila dia sudah meninggal dunia nanti.

Pemilik nama sebenar Norhizam Shair, 58, yang kini penceramah bebas itu berkata, pesanan tersebut sudah dimaklumkan kepada isteri, Nor Suhaila Abdul Karim serta rakan seperjuangan dan sahabat terdekat agar memenuhi permintaan itu kecuali andai lirik lagu terbabit telah diubah.

“Memang saya ada maklumkan kepada isteri dan kawan-kawan yang masih lagi dalam arena muzik, kalau saya meninggal dunia nanti jika boleh jangan lagi mainkan lagu nyanyian saya yang lalu.

“Tapi kalau karya cinta yang telah digubah seni kata kepada pengisian kerohanian serta kemanusiaan saya saya tak halang.

“Saya tahu lagu itu bukan dendangan saya seorang, sebaliknya bersama Medicine dan saya pun tak boleh kawal untuk tidak dimainkan, tapi sekurang-kurangnya ada usaha hijrahkan lagu itu,” katanya selepas pelancaran Umrah I’tikaf Ramadan 2024 anjuran AsShams Travel & Tours Sdn. Bhd, baru-baru ini.

Pada masa sama, Ijam meluahkan kesyukuran apabila orang terdekat menghormati pendiriannya yang mahu mengelakkan individu tanpa ikatan terbuai perkara kurang manis.

“Tuan guru saya ada cakap, boleh terus menyanyi untuk dijadikan salah satu medium kita berdakwah kepada orang lain, namun lirik kena diubah.

“Kita tak mahu ketika lagu berkenaan dinyanyikan, pendengar masih terkenang kisah cinta lalu atau hadiahkan kepada kekasih kerana rasa sayang, tapi belum berkahwin.

“Saya nak elak lagu yang saya nyanyikan menjadi asbab kepada ke arah maksiat sekali gus membuatkan saya rasa berdosa,” ujarnya.

Menurutnya, atas sebab itu pendakwah bebas yang mendapatkan tauliah dari Negeri Sembilan dan Sarawak mengakui bersama dua rakan membuat gubahan lirik seleksi popular Medicine, Tika Dan Saat Ini.

Katanya, ini adalah permulaan supaya pendengar yang pernah mengikuti dendangan ini menghayati pula seni kata baharu berunsur kerohanian ” ujarnya.

Sebelum ini, Ijam yang bersama kumpulan Medicine sejak akhir 1980-an berkongsi kisah penghijrahan mendalami ilmu agama kira-kira 21 tahun lalu berkat doa ibunya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok