SELEPAS 12 minggu berentap, penyanyi Jaclyn Victor menepati ramalan apabila diumumkan sebagai juara All Stars Gegar Vaganza (GV10).
Kemenangan Jacylyn sekali gus menundukkan tujuh peserta lain untuk pulang dengan hadiah wang tunai berjumlah RM200,000 beserta trofi emas sumbangan Astro.
Pada persembahan di pentas akhirGV10, penyanyi itu menambat hati juri dengan membawakan lagu When You Believe untuk segmen solo manakala berganding bahu bersama Datuk Jamal Abdillah menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan untuk segmen duet
Untuk saingan ‘battle’ pula Jaclyn memberi saingan hebat kepada Liza Hanim, Siti Nordiana, dan Tomok menerusi lagu Lets Kill This Love nyanyian asal Blackpink.
Jaclyn yang dahulunya juara Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) mempamerkan persembahan cemerlang sehingga mampu meminggirkan finalis lain yang rata-ratanya juara Gegar Vaganza musim terdahulu.

KEMENANGAN Jaclyn diraikan finalis GV10 yang masing-masing mempamerkan persembahan terbaik pada malam kemuncak pertandingan popular itu.
Pelantun lagu Gemilang itu sentiasa menampilkan persembahan terbaik selain konsisten setiap minggu malah sudah beberapa kali mendapat tempat pertama dalam konsert mingguan.
Dalam masa sama, Naqiu memenangi anugerah tambahan iaitu Anugerah Pilihan Bos Susu yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.
Kesemua finalis bakal membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej percutian tajaan KakiJalan dan trofi Gegar Vaganza.
Dikendalikan pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse, konsert akhir GV10 diadili tiga juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat serta Ratu Rock Negara, Ella sebagai juri jemputan. – HIBGLAM